Anda di sini

Sarawak Metro saksi penyerahan LoI kepada enam syarikat tempatan 

Advertisement
Mazli (dua kanan) menerima cenderamata daripada Ng. Turut kelihatan Pengarah DOM-EEB JV Chen Jingfei (kanan) dan Pengarah Projek DOM-EEB JV Alex Wong.
Mazli (dua kanan) menerima cenderamata daripada Ng. Turut kelihatan Pengarah DOM-EEB JV Chen Jingfei (kanan) dan Pengarah Projek DOM-EEB JV Alex Wong.

KUCHING: Sarawak Metro Sdn Bhd (Sarawak Metro) hari ini menyaksikan penyerahan Surat Hasrat (LoI) kepada enam syarikat tempatan Sarawak yang turut melibatkan tiga syarikat Bumiputera.

Sarawak Metro dalam satu kenyataan berkata, LoI itu dikeluarkan oleh syarikat kontraktor bagi Sistem Pakej 2 projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) - DOM-EEB Joint Venture International Sdn Bhd (DOM-EEB JV).

DOM-EEB JV merupakan kerjasama antara DOM Industries (M) Sdn Bhd dan China Railway Electric Engineering Group Malaysia Sdn Bhd, telah dianugerahkan kontrak untuk Sistem Pakej 2 dan kontrak mereka merangkumi reka bentuk, kejuruteraan, perolehan, penghantaran, pemasangan, ujian, pentauliahan serta penyerahan pelbagai sistem yang berkaitan dengan Fasa 1 Projek KUTS.

Sistem ini termasuk Telekomunikasi (Comms), Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA), Pengumpulan Tambang Automatik (AFC), Sistem Pengurusan Penyelenggaraan Berkomputer (CMMS), Pusat Kawalan Operasi (OCC) dan Sistem Teknologi Maklumat (ITS).

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Metro Mazli Mustaffa berkata, pengeluaran LoI itu menandakan komitmen Sarawak Metro dan kontraktornya memenuhi tanggungjawab sosioekonomi kepada masyarakat setempat dalam usaha mereka melaksanakan projek KUTS.

“Usaha kami di sini juga selaras dengan aspirasi negara untuk memastikan penyertaan 30 peratus syarikat Bumiputera, terutama dalam projek seperti yang kami bangunkan,” kata Mazli yang hadir menyaksikan penyampaian LoI oleh DOM-EEB JV kepada masing-masing syarikat tempatan Sarawak dan syarikat Bumiputera.

Mazli (tengah) dan Ng (lima kanan) merakam kenangan bersama wakil syarikat-syarikat yang menerima LoI serta pengurusan kanan Sarawak Metro dan DOM-EEB JV lain.
Mazli (tengah) dan Ng (lima kanan) merakam kenangan bersama wakil syarikat-syarikat yang menerima LoI serta pengurusan kanan Sarawak Metro dan DOM-EEB JV lain.

Mazli menambah: "Selain menjana manfaat ekonomi, saya berharap penyertaan lebih baik syarikat-syarikat tempatan dan Bumiputera kita juga akan membolehkan perpindahan pengetahuan dan teknologi berlaku kerana ini seterusnya akan mewujudkan rantaian bekalan yang lebih mampan bagi menyokong projek KUTS."

Terdahului Pengarah DOM-EEB JV Vincent Ng berkata pengeluar LoI mengesahkan komitmen DOM-EEB JV untuk melibatkan syarikat tempatan dan Bumiputera melaksanakan projek KUTS.

“Pengeluaran LoI hari ini bukan sahaja merasmikan niat serta hasrat kami untuk bekerjasama tetapi mewujudkan asas bagi perkongsian yang dibina atas komunikasi, kerjasama dan saling menghormati,” kata Ng.

LoI itu dikeluarkan kepada tiga syarikat tempatan iaitu Aimstral Sdn Bhd, Impact Business Solutions Sdn Bhd dan Standard Tower Sdn Bhd serta kepada tiga syarikat Bumiputera – Kalaka Jaya Sdn Bhd, Kyo Sinar Sdn Bhd dan Accurate Technics Holding Sdn Bhd.

Advertisement