Anda di sini

RM200 juta diluluskan untuk projek pembinaan jalan ke Limpaku Pinang

Advertisement
Acara lumba kerbau yang mencuri tumpuan di Kampung Lubok Piasau.
Acara lumba kerbau yang mencuri tumpuan di Kampung Lubok Piasau.

LIMBANG: Sebanyak RM200 juta peruntukan sudah diluluskan kerajaan persekutuan untuk projek pembinaan jalan ke Limpaku Pinang yang kini masih menunggu pelaksanaan.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Habibollah berkata, projek itu amat dinanti bagi menghubungkan penduduk di Kampung Limpaku Pinang menggunakan jalan darat memandangkan kawasan itu hanya dapat diakses melalui sungai selama ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang menjelaskan apabila dilaksanakan kelak projek itu akan membuka lebih banyak pembangunan termasuk memajukan sektor pelancongan domestik di kawasan perkampungan nelayan itu.

“Di peringkat kerajaan persekutuan jalan ke Limpaku Pinang sudah diluluskan sebanyak RM200 juta.

“Jalan tu bukan saja akan menghubungkan penduduk di perkampungan nelayan tetapi juga akan membuka sektor pelancongan di kawasan itu,” katanya berucap pada Perasmian Pesta Badudun dan Lumba Kerbau 2024 di Kampung Lubok Piasau, baru-baru ini.

Beliau meminta penduduk di Limbang untuk terus memberi kerjasama dalam memastikan projek untuk kesejahteraan dan keselesaaan rakyat dapat dilaksanakan, khususnya dari segi pengambilan tanah dan sebagainya.

Menurutnya lagi banyak pembangunan sudah dinikmati dan dirasai penduduk di perkampungan sepanjang pesisir sungai di Limbang termasuk jalan menuju ke Seberang Kedai yang sudah siap digunakan dan jalan dari Pengkalan Rejab ke Meritam fasa satu, dua dan tiga selain projek lain.

Advertisement