Anda di sini

Pameran sempena HAWANA 2024 di Plaza Merdeka bakal jadi tumpuan orang ramai

Advertisement
Infografik program serta aktiviti sempena sambutan HAWANA 2024. - Gambar UKAS
Infografik program serta aktiviti sempena sambutan HAWANA 2024. - Gambar UKAS

KUCHING: Pameran sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 yang akan diadakan di Autrium Utama pusat beli-belah Plaza Merdeka di sini bermula 25 hingga 27 Mei ini, bakal menjadi tumpuan orang ramai.

Menurut kenyataan akhbar dikeluarkan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), sebanyak 20 reruai pameran akan mewarnai sambutan HAWANA 2024 yang dibuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 5 petang. 

Antara bahan-bahan yang akan dipamerkan adalah peralatan-peralatan media lama yang popular pada zamannya seperti kamera lama, radio lama, alat rakaman, kamera video selain sejarah penubuhan media di Sarawak.

Seterusnya, pelbagai program dijalankan seperti temu bual di konti, acara pentas selain para pengunjung dapat merasai sendiri pengalaman membaca berita secara profesional di reruai pameran UKAS. 

Orang ramai khasnya para penuntut pengajian komunikasi dijemput melawat reruai pameran yang disediakan.

Terdapat 17 agensi akan terlibat dalam pameran selama tiga hari itu yang akan mempamerkan perkhidmatan masing-masing selain memberi peluang kepada para pengunjung mendapatkan pelbagai maklumat dan menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan.  

Agensi-agensi yang terlibat ialah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), TVS, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sarawak, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Sarawak, Jabatan Penerangan (JAPEN) Sarawak, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Sarawak Tourism Board (STB) dan Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA).

CATSfm, Borneo Post, Utusan Borneo, See Hua, Sarawak Tribune, Suara Sarawak, Sin Chew Daily, Utusan Sarawak, Kupi-Kupi fm, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) dan UDA Holdings turut mengambil bahagian dalam pameran itu.

Pameran HAWANA 2024 akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil pada 25 Mei ini.

Turut dijangka hadir semasa program pembukaan pameran itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan & UKAS) Datuk Abdullah Saidol.

Majlis Kemuncak HAWANA 2024 pula dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei ini.

Lebih 800 pengamal media termasuk pengamal media dari negara jiran turut dijemput menghadiri HAWANA 2024.

Advertisement