Anda di sini

Lebih 540 kg sampah berjaya dikutip di Pantai Tanjung Lipat Likas

Advertisement
 Sebahagian peserta program yang terlibat merakamkan gambar kenangan sebelum acara bermula.
ALBUM: Sebahagian peserta program yang terlibat merakamkan gambar kenangan sebelum acara bermula.


KOTA KINABALU: Lebih 540 kilogram (kg) sampah berjaya dikutip dalam satu program Khidmat Masyarakat Pembimbing Rakan Sebaya bagi membersihkan Pantai Tanjung Lipat Likas yang dikendali pelajar separa masa Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Sabah.


Seramai lebih 100 sukarelawan menyertai program pembersihan Pantai Tanjung Lipat Likas yang bukan sahaja terdiri daripada pelajar separa masa UTeM, tetapi juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandaraya Kota Kinabalu termasuk pegawai-pegawai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).


Dianggarkan lebih 540 kg sampah dikutip dalam masa beberapa jam selepas program itu bermula dengan bimbingan daripada pensyarah UTeM, Dr. Hafzan Arif.

 Peserta program mengumpulkan sampah yang dikutip daripada Pantai Tanjung Lipat Likas yang kemudian ditimbang untuk direkodkan.
HASIL: Peserta program mengumpulkan sampah yang dikutip daripada Pantai Tanjung Lipat Likas yang kemudian ditimbang untuk direkodkan.


Sementara itu, Pengarah Program Mohd Shahril Osin ketika ditemui memberitahu, antara objektif program itu dilaksanakan adalah untuk memupuk budaya sayangkan alam sekitar dan pada masa sama mendidik masyarakat agar menerapkan amalan penjagaan alam sekitar.


"Aktiviti ini menunjukkan betapa pentingnya peranan kita sebagai masyarakat prihatin dalam menjaga pantai yang merupakan habitat penting bagi kebanyakan spesies marin dan tempat rekreasi untuk kita semua.

 
"Menjaga kebersihan pantai bukan sahaja membantu melindungi ekosistem laut tetapi juga memastikan kawasan ini kekal indah dan selamat untuk dinikmati oleh generasi akan datang, " katanya.

 Sebahagian kumpulan sedang membersihkan pantai dalam program Masyarakat Pembimbing Rakan Sebaya yang diadakan di Pantai Tanjung Lipat Likas.
KUTIP: Sebahagian kumpulan sedang membersihkan pantai dalam program Masyarakat Pembimbing Rakan Sebaya yang diadakan di Pantai Tanjung Lipat Likas.


Dalam pada itu, Mohd Shahril turut merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program yang diadakan itu dan berharap masyarakat lain akan mengambil langkah sama dalam memelihara keindahan pantai.


"Saya mewakili seluruh peserta mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah turut serta dalam program ini. Tidak dilupakan juga kepada Dr. Hafzan atas bimbingan yang cukup bermanfaat dan bermakna ini. Oleh itu mari kita teruskan usaha memelihara keindahan pantai kita, " katanya.

Sementara itu, Mohd Shahril turut merakamkan penghargaan kepada para penaja iaitu Pentech Services; Parad Tech Engineering Services; Kejuruteraan Letrik Etara; Aspire Dynamic; Anpec Global; Grid Testing SB; Larico Construction Sabah S/B;⁠ MN power;⁠ Ultimax Badminton Club dan ⁠Huls Transmission Sdn Bhd atas tajaan mereka dalam program masyarakat yang telah dilaksanakan itu.

 

  • oleh
  • Advertisement