Anda di sini

Hope Place bantu keluarga Catherine sejak 2019 

Advertisement
Catherine (kanan) bersama salah seorang anaknya menerima bantuan daripada Hope Place Kuching.
Catherine (kanan) bersama salah seorang anaknya menerima bantuan daripada Hope Place Kuching.

KUCHING: Menjaga empat orang yang dikategorikan kurang upaya mental bukan suatu yang mudah, namun bagi Catherine Edwin, 53, itu adalah amanah harus dipikulnya selagi bernyawa.

Menyedari kepayahan dilalui Catherine, Hope Place Kuching, pertubuhan amal tampil membantu dengan memberi sumbangan berupa makanan kepada keluarga itu sejak 2019.

Sebagai isteri dan ibu, Catherine perlu menjaga suami dan tiga anak lelakinya yang mempunyai tahap kemurungan dan ketidakupayaan yang berbeza.

"Saya tidak pernah mengeluh jauh sekali kesal kerana perlu menjaga mereka. Ini kerana bagi saya ini adalah anamah yang harus dipikul selagi saya mampu dan bernyawa.

"Syukur ada pihak seperti Hope Place sentiasa sudi membantu, meringankan beban kami," katanya dalam kenyataan dikeluarkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu hari ini.

Suami Catherine, iaitu Sai Bi, 63,mengalami kemurungan selama bertahun-tahun dan pertuturan kurang jelas, malah sering merayau-rayau di kawasan kediaman mereka yang terletak di rumah PPRT Semariang Batu serta sekitar kampung berhampiran.

Manakala dua daripada anak lelakinya, masing-masing berumur 15 dan 17 tahun telah berhenti sekolah kerana mengalami masalah pembelajaran yang perlahan atau lembam. 

Seorang lagi anak lelakinya (yang sulung) mengalami sakit mental dan tidak dapat bekerja.

Catherine mempunyai dua orang lagi anak iaitu perempuan, sudah berkahwin dan tinggal di tempat lain manakala seorang lagi, lelaki 22 tahun meninggalkan rumah, sehingga kini tiada khabar berita.

"Saya harus sentiasa berasa bimbang dengan keselamatan suami dan anak-anak. Maklumlah dengan keadaan rumah yang sempit serta serba kekurangan.

"Saya sentiasa memegang tangan mereka takut perkara tidak diingini berlaku," tambahnya.

Catherine hanya menerima bantuan kewangan RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan dan tidak mempunyai pendapatan lain.

Sementara itu, Hope Place Kuching, sebuah badan amal akan meneruskan usaha murni membantu keluarga serta individu yang menderita penyakit mental.

Kebanyakan yang dibantu merupakan hidup terpinggir dan dirujuk kepada hospital kerajaan seperti Hospital Umum Sarawak (HUS), Hospital Sentosa dan Hospital Serian.

Sehingga kini, pertubuhan amal itu telah membantu meringankan beban kira-kira 74 individu kurang upaya mental.

Advertisement