Anda di sini

Aktiviti sempena Gawai dipromosikan di Singapura 

Advertisement
Sagah (tiga kiri), Harden (empat kiri) serta yang lain merakam kenangan semasa merasmikan jerayawara mempromosikan sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2024 di pejabat STATOS, Singapura.
Sagah (tiga kiri), Harden (empat kiri) serta yang lain merakam kenangan semasa merasmikan jerayawara mempromosikan sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2024 di pejabat STATOS, Singapura.

KUCHING: Delegasi Sarawak diketuai Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn baru-baru ini berada di Singapura dalam misi mempromosikan pelbagai aktiviti bakal diadakan di sini sempena sambutan Gawai Dayak 2024.

Delegasi terdiri daripada pegawai kerajaan negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak dan ahli jawatankuasa sambutan Gawai Dayak Sarawak 2024.

Satu jerayawara diadakan di Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak, Singapura (STATOS) pada 20 Mei 2024 (Isnin), dirasmikan Roland Sagah.

Beliau dalam ucapannya berkata jerayawara itu bertujuan mengalu-alukan kedatangan pelancong dan pengembara perniagaan dari Singapura ke Kuching khasnya bagi merasai sendiri pengalaman menyambut Gawai Dayak.

"Pendek kata, ia mempamerkan pelbagai aktiviti menarik yang dirancang untuk pelawat - ini akan membolehkan mereka merasai dan menikmati khazanah budaya unik dan warisan yang kaya di Sarawak. 

"Dengan sokongan padu daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia (HCM) di Singapura, Tourism Malaysia dan STATOS, kita dapat memberikan maklumat secara langsung mengenai Gawai Dayak kepada penduduk di Singapura," katanya.

Sagah yang juga pengerusi Jawatankuasa Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2024 menambah: "Pesta ini disambut selepas menuai padi dan merupakan masa untuk menzahirkan rasa syukur atas limpahan hasil yang terkumpul dan mengharapkan hasil tuaian yang banyak pada musim akan datang."

Menurutnya sambutan Gawai Dayak membawa beberapa impak positif kepada masyarakat dan negara secara keseluruhannya seperti pendidikan dan pemahaman budaya, pemeliharaan dan promosi budaya, pembangunan komuniti dan keusahawanan serta pengurusan dan pemuliharaan alam sekitar. 

"Kita mempunyai begitu banyak program yang mampu memebri pengalaman ditawarkan. 

“Memandangkan Kuching terletak berdekatan dengan Singapura yang hanya satu jam 30 minit perjalanan (pengangkutan udara), saya berbesar hati untuk menjemput bukan sahaja pelancong tetapi juga rakyat Malaysia yang tinggal di Singapura untuk pulang dan menyertai sambutan Gawai Dayak," tambahnya.

Selesai perasmian jerayawara itu, sesi pagi dan tengah hari diadakan bagi mempromosikan pelbagai pakej pelancongan kepada pelancong dan pengembara perniagaan untuk merasaikan sendiri budaya serta warisan unik Sarawak.

Sehubungan itu, semasa pembentangannya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Business Events Sarawak  (BESarawak) Amelia Roziman berkongsi mengenai tiga pakej utama yang akan membolehkan pelancong dan delegasi merasai pengalaman berbilang budaya Sarawak termasuk masyarakat Bidayuh, Iban dan Orang Ulu. 

Pakej Bidayuh dan Orang Ulu diperkenalkan BESarawak untuk membina pasukan dan idea tema yang menyasarkan aktiviti kumpulan korporat dan malam sosial untuk konvensyen seerta pameran. 

BESarawak ialah sebuah agensi  Kerajaan Sarawak yang berperanan mempromosi dan menyokong sektor acara perniagaan (konvensyen, pameran, mesyuarat korporat dan insentif korporat) di Sarawak. 

Manakala Pakej Iban diwujudkan oleh Persekutuan Pelancongan Sarawak untuk pelancong riadah.

Antara acara kemuncak jerayawara itu ialah Sesi Libat Urus Sinergis dengan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk ejen pelancongan, pegawai kerajaan dan wakil daripada masyarakat tempatan. 

Pelbagai jenis produk buatan/keluaran tempatan dari Sarawak, termasuk tuak dan hidangan lazat, biskut, herba, varieti lada asli dan kraf tangan dipamerkan.

Sementara itu, sebagai sebahagian daripada Sambutan Gawai Dayak Peringkat Negeri 2024, acara utama diadakan termasuk Bazar Gawai Dayak (16-26 Mei 2024) di MJC Batu Kawa Kuching, Karnival Gawai Dayak (6-9 Jun 2024) di Siburan, Serian dan Perarakan Kebudayaan Gawai Dayak (15 Jun 2024) di Tebingan Kuching. 

Kerajaan Sarawak juga akan memaparkan acara tersebut dalam buku dan brosur pelancongan 2024, yang akan dilancarkan pada September.

Hadir sama Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Anielia Siam, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Dato Dr Azfar Mohamad Mustafar, Timbalan Pengarah Tourisam Malaysia, Singapura Mohana Murni Shanmugam, Ketua Pegawai Eksekutif STATOS Chew Chang Guan serta wakil komuniti Dayak dan Sarawak Skills serta ahli Jawatankuasa Kerja Gawai Dayak Coffee Table Book and Tourism Brochure 2024.   

Advertisement