Anda di sini

Tiga lagi hotel antarabangsa di Kuching

Advertisement
  • Tiga lagi hotel bertaraf antarabangsa telah diluluskan untuk dibangunkan di Kuching: Abdul Karim
Abdul Karim (tiga kiri) berbual dengan tetamu yang hadir pada Program TDR Sarawak anjuran STB dan PATA. Turut kelihatan (dari kiri) Sharzede, Snowdan, Dennis dan Noor Ahmad (dua kanan). 
Abdul Karim (tiga kiri) berbual dengan tetamu yang hadir pada Program TDR Sarawak anjuran STB dan PATA. Turut kelihatan (dari kiri) Sharzede, Snowdan, Dennis dan Noor Ahmad (dua kanan). 

Oleh Agnes Tugong

KUCHING: Tiga lagi hotel bertaraf antarabangsa telah diluluskan untuk dibangunkan di Kuching, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. 

Satu daripada hotel yang telah diluluskan tersebut kata Abdul Karim ialah Ascott manakala dua lagi hotel beliau tidak pasti namanya. 

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan dan sektor swasta sensitif dengan apa yang berlaku. 

“Pada masa ini jumlah bilik penginapan adalah mencukupi untuk menampung jumlah pelawat tetapi kita perlu melihat 10, 20 hingga 30 tahun dari sekarang. 

“Melihat kepada kadar pelancong global, kita akan memerlukan lebih banyak bilik dan persediaan mesti dilakukan sekarang bukan pada saat akhir,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Ketahanan Destinasi Pelancongan (TDR) Sarawak di sebuah hotel di sini semalam. 

Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan, Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) Dato Dennis Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB Sharzede Datu Salleh Askor dan CEO Persatuan Pelancongan Asia Pasifik (PATA) Noor Ahmad Hamid.

Ujar Abdul Karim lagi, pembangunan hotel bukan sahaja di Kuching tetapi di seluruh Sarawak, Miri, Bintulu dan Sibu. 

Pada 5 Jun depan katanya, syarikat penerbangan Scoot akan melancarkan penerbangan terus dari Singapura ke Sibu. 

Ini sekali gus katanya, akan menjadikan Sibu sebagai pintu gerbang ke pedalaman Kapit dan sebagainya. 

“Jadi, akan ada hotel dibangunkan di Sibu, Kapit, yang bagus untuk industri pelancongan,” katanya. 

Dari segi jumlah kedatangan pelawat ke Sarawak pula, Abdul Karim berkata ia meningkat 25.46 peratus bagi tempoh Januari hingga April tahun ini iaitu sebanyak 1,615,912 pelawat berbanding tempoh sama tahun 2023 iaitu 1,2,88,036 pelawat. 

Daripada jumlah itu, Abdul Karim optimis sasaran empat juta pelawat tahun ini dapat dicapai lebih awal antara bulan Ogos atau September akan datang. 

Jika Sarawak berjaya mencapai empat juta pelawat tahun ini katanya, sasaran tahun depan akan dinaikkan kepada lima juta pelawat. 

Advertisement