Anda di sini

PETRONAS hasilkan filem 'Seindah Tradisi', tampil semangat rai Kaamatan

Advertisement
 Jeffrey dan Siti Azlina (empat kanan) merakamkan kenangan bersama barisan pelakon dan produksi filem Seindah Tradisi yang dilancarkan PETRONAS sempena Pesta Kaamatan.
KENANGAN: Jeffrey dan Siti Azlina (empat kanan) merakamkan kenangan bersama barisan pelakon dan produksi filem Seindah Tradisi yang dilancarkan PETRONAS sempena Pesta Kaamatan.

KOTA KINABALU: Penghasilan filem bertajuk 'Linundus Do Koubasanan' (Seindah Tradisi) menjadi platform kepada PETRONAS untuk rakyat Malaysia dan masyarakat seluruh dunia lebih mengenali budaya serta tradisi suku kaum di Sabah.

Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik, Perhubungan dan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS Siti Azlina Abdul Latif berkata, setiap tahun PETRONAS akan menghasilkan filem sempena dengan sambutan Pesta Kaamatan.

Menurutnya, tahun ini filem Linundus Do Koubasanan atau Seindah Tradisi mengisahkan seorang kanak-kanak yang ditugaskan oleh bapanya untuk membantu persiapan keluarga dalam menyambut Kaamatan. 

Katanya, filem berkenaan diinspirasikan daripada semangat penduduk di Kampung Kiau Kota Belud dalam meraikan Pesta Kaamatan.

"Filem ini mengetengahkan pentingnya kita memelihara warisan budaya dalam menjalin keharmonian demi kemajuan bersama. 

"Kisah masyarakat kaum Dusun ini, memaparkan tradisi yang lazim diamalkan oleh penduduk setempat dan digambarkan melalui kepelbagaian juadah, keindahan bahasa, keharmonian, dan kemeriahan dalam menyambut Pesta Kaamatan. 

"Kaamatan sememangnya membawa maksud yang mendalam, merangkumi nilai-nilai kekeluargaan, perpaduan, dan kecekalan yang menjadi teras kepada masyarakat kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis tayangan filem Kaamatan PETRONAS 2024 di sini hari ini. Timbalan Ketua Menteri yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan.

Menurutnya, filem itu juga menekankan kepentingan memelihara warisan budaya daripada generasi ke generasi di samping menonjolkan peranan penting perpaduan dan tradisi dalam mengekalkan keharmonian masyarakat.

Katanya, para penonton diperkenalkan kepada pelbagai aspek cara hidup masyarakat, daripada amalan tradisi dan dialek tempatan, hinggalah kepada cabaran dan kejayaan dalam kehidupan seharian.

Dalam pada itu, Siti Azlina turut berharap melalui filem ini Seindah Tradisi, rakyat Malaysia dan juga seluruh dunia dapat lebih mengenali budaya dan tradisi suku kaum di negeri ini.

Katanya, filem berkenaan juga boleh disaksikan menerusi YouTube dan Facebook PETRONAS bermula semalam.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada barisan pelakon, pengarah, dan kru penggambaran filem ini serta rakan-rakan saya dari PETRONAS yang bekerja keras di belakang tabir untuk menjayakan filem serta majlis ini," jelasnya.

Sementara itu, Jeffrey berkata, lakonan dan jalan cerita filem berkenaan sememangnya menyentuh hati penonton dengan adat budaya yang ditampilkan.

Beliau percaya, filem berkenaan dapat menyampaikan mesej mengenai pentingnya untuk mengekalkan serta mengamalkan tradisi dan warisan budaya.

"Saya amat kagum terutama sekali tajuk dan tayangannya yang menyentuh hati," jelasnya.

Filem Seindah Tradisi dihasilkan menerusi arahan bersama Bebbra Mailin dan Rewan Ishak dan penggambarannya dijalankan di Kampung Kiau Kota Belud.

Kawasan kampung berkenaan yang terletak di lembah Gunung Kinabalu menjadi inspirasi dalam pengolahan filem ini kerana keunikan landskapnya, sekali gus memaparkan keindahan sinematografi.
 

  • oleh
  • Advertisement