Anda di sini

Pasukan Samarahan Crocodile Hunter tangkap dua ekor buaya

Advertisement
Empat anggota SCH berjaya menangkap dua reptilia itu di Sungai Kampung Tanjung Tuang, Kota Samarahan semalam.
Empat anggota SCH berjaya menangkap dua reptilia itu di Sungai Kampung Tanjung Tuang, Kota Samarahan semalam. - Gambar Samarahan Crocodile Hunter 

KUCHING: Pasukan Samarahan Crocodile Hunter (SCH) berjaya menangkap dua ekor buaya di Sungai Kampung Tanjung Tuang, Kota Samarahan semalam.

Ketua Pasukan Samarahan Crocodile Hunter Kaunselor Aziz Mohammad berkata, seekor reptilia itu dianggarkan seberat 500 kilogram manakala seekor lagi dianggarkan 300 kilogram.

"Dua buaya itu ditangkap di Sungai Kampung Tanjung Tuang dan operasi tangkapan itu dilakukan setelah menerima aduan.

"Pemancing di atas jeti melihat dua ekor buaya berenang berhampiran jeti sungai dan setelah pemeriksaan pada sebelah malam dilakukan... memang betul aduan tersebut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, reptilia itu memakan umpan ayam tua yang dipasang sejak petang Sabtu.

"Tengah hari pada esoknya, kita datang balik dan melihat bahawa umpan yang dipasang itu membawa hasil.

"Buaya itu kebiasaannya akan berada di bawah jeti dan bermain di kawasan jeti.

"Jangan ambil enteng ketika berada di bawah jambatan seperti membasuh kaki dan sentiasa dengar nasihat yang diberikan," tegasnya.

Mengenai buaya yang sudah ditangkap SCH itu, Aziz memberitahu, ia akan dilupuskan dengan cara yang baik.

"Atas nasihat Sarawak Forestry Corporation (SFC), buaya mesti dilupuskan dengan cara yang baik agar tidak mengganggu pengguna sungai yang lain," jelasnya.

Advertisement