Anda di sini

Bot penumpang langgar syarat sah lesen ditahan di perairan Bintulu

Advertisement
Bot penumpang yang ditahan di perairan Bintulu tengah hari semalam.
Bot penumpang yang ditahan di perairan Bintulu tengah hari semalam.

BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu bertindak menahan sebuah bot penumpang kerana disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan Bintulu semalam.

Pengarah Maritim Zon Maritim Bintulu Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine Abdullah berkata, bot yang berada dalam keadaan mencurigakan itu ditahan pada kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika dari barat laut Kuala Kemena sekitar jam 12.40 tengah hari.

"Pemeriksaan serta penahanan dilakukan semasa pasukan operasi menjalankan pemeriksaan harian ke atas beberapa bot di kawasan perairan Bintulu," ujarnya.

Hasil pemeriksaan dan penggeledahan yang dijalankan ke atas bot terbabit ujarnya, turut menahan dua kru termasuk nakhoda yang merupakan lelaki warga tempatan masing-masing berumur 48 dan 23 tahun.

Bot seterusnya dibawa ke pusat tahanan vesel untuk siasatan di bawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana disyaki melakukan kesalahan beroperasi.

"Antara kesalahan utama yang dikesan ialah pemilik bot gagal melaporkan kepada pegawai pelabuhan tentang pertukaran nakhoda dan bilangan kru tidak mencukupi untuk beroperasi," jelasnya.

Beliau pada masa sama mengingatkan semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut di perairan negara.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan di laut tegas Muhammad, boleh dilaporkan ke MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Bintulu di talian 086-314254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 untuk tindakan segera.

  • oleh
  • Advertisement