Anda di sini

Bot nelayan ditahan kerana langgar syarat lesen

Advertisement


Bot dikendali seorang tekong, tiga kru warga Indonesia berada pada 10.5 batu nautika barat Kuala Baram

Sebuah bot nelayan tempatan disyaki menangkap ikan di kawasan kurang 12 batu nautika dari pantai Miri ditahan APMM semalam.
Sebuah bot nelayan tempatan disyaki menangkap ikan di kawasan kurang 12 batu nautika dari pantai Miri ditahan APMM semalam.

MIRI: Sebuah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Miri semalam kerana disyaki melanggar syarat lesen dengan menangkap ikan di kawasan salah.

Ketika ditahan, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong (nakhoda) dan tiga kru warga Indonesia berada pada kedudukan 10.5 batu nautika barat Kuala Baram.

Pengarah Zon Maritim Miri Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1986 iaitu melanggar syarat sah lesen menjalankan kerja-kerja menangkap ikan pada kedudukan kurang daripada 12 batu nautika dari pantai.

"Bot tunda itu ditahan semasa pasukan bot ronda Maritim Malaysia sedang melaksanakan Ops Permai 01/2019 dan Ops Tiris 3.0 di kawasan perairan Miri.

"Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati bot nelayan itu dikendalikan oleh seorang bersama tiga kru semuanya merupakan warga Indonesia," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan di sini semalam.

Mohd Khairol berkata, berikutan itu tekong bersama kru dan bot nelayan terbabit kemudian diiringi ke Jeti Perikanan Miri untuk tindakan lanjut.

Sehubungan itu, beliau menegaskan APMM terus komited dalam menguatkuasakan undang-undang dan tidak berkompromi ke atas pesalah ingkar.

Sementara itu katanya, sebarang aduan dan kes kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085-418204/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544/082-432016) untuk maklum balas segera.

  • oleh
  • Advertisement