Anda di sini

UMS tawar 68 program pengajian prasiswazah sesi 2023/2024

Advertisement
Dr. Kasim
Dr. Kasim

TAWAU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menawarkan sebanyak 68 program pengajian prasiswazah pada sesi akademik 2023/2024 kali ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Haji Mansor berkata, pihaknya turut menawarkan satu program diploma serta tiga program asasi termasuk dua program baharu iaitu Usuluddin dan Syariah di bawah Fakulti Pengajian Islam.

Katanya, UMS berjaya menduduki tempat kelapan daripada 20 Universiti Awam (UA) dalam pilihan permohonan pelajar menyambung pengajian di peringkat prasiswazah.

“UMS terus memberikan tumpuan serius kepada peningkatan program-program yang berdaya saing, kecemerlangan akademik dan keupayaan penyelidikan.

Semua ini adalah inisiatif pihak universiti dalam memberikan pelajar yang layak dan terpilih lebih pengalaman pembelajaran yang holistik serta relevan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Pelancaran Program Jom Masuk U 2024 Zon Sabah, di sini, semalam. Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.

Menurutnya, dalam mendepani arus teknologi yang semakin berkembang, UMS sedang mengkaji program-program baharu yang diperlukan di pasaran dan belum ditawarkan oleh universiti lain.

Katanya, UMS juga meneruskan Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG) yang mana UMS termasuk dalam lapan universiti awam menjadi perintis program ini pada tahun lalu.

“Pelaksanaan program Mekanisme Mod Kemasukan Baharu bagi Isi Rumah B40 atau di UMS kita panggil ‘Merobah Idea Menjadi Realiti’ yang telah diadakan sejak tahun lalu akan diteruskan.

“Ia bagi memastikan pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan dan berkelayakan juga diberi peluang pendidikan yang sama dengan pelajar-pelajar lain,” katanya.

 Dr. Kasim bersama tetamu kehormat lain mengiringi Mustapha melakukan gimik perasmian program berkenaan.
RASMI: Dr. Kasim bersama tetamu kehormat lain mengiringi Mustapha melakukan gimik perasmian program berkenaan.

Mengulas mengenai majlis ini, katanya, UMS sangat bersykur kerana sekali lagi diberi kepercayaan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk menganjurkan program berkenaan.

Katanya, program ini adalah ‘signature’ program KPT yang menjadi pusat sehenti kepada pelajar, ibu bapa, guru dan orang awam untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini daripada pihak IPT.

“Kira-kira 150 pempamer iaitu sebanyak 60 reruai (booth) pameran yang menyertai siri Jom Masuk U Zon Sabah pada kali ini.

“Ia melibatkan Universiti-universiti Awam, Politeknik dan Kolej Komuniti, Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) serta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) yang terpilih,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement