Anda di sini

Umat Islam diseru hormati kaum, agama, budaya, adat resam, perayaan kaum lain

Advertisement
Huang menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Zahid sambil disaksikan tetamu lain.
Huang menyampaikan cenderamata kepada Ahmad Zahid sambil disaksikan tetamu lain.

SARIKEI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru umat Islam menghormati kaum dan agama, budaya, adat resam serta perayaan kaum-kaum lain.

Katanya, dalam Islam tiada istilah keganasan dan hanya golongan tidak faham tentang menggunakan Islam sahaja atau taksub sahaja melakukan perbuatan tersebut.

“Ajaran Islam menuntut umatnya agar bersikap toleransi dan mengutamakan perpaduan kaum.

“Apa yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram dan usaha pencerobohan Istana Negara hanya dilakukan oleh golongan tidak faham tentang Islam dan taksub untuk melakukan keganasan.

“Sarawak terkenal dengan keharmonian kaum dan kini berada pada tahap tertinggi dan wajar dicontohi oleh negeri-negeri lain,” katanya pada Majlis Sambutan Pra-Gawai 2024 di Dewan Sentral Sarikei hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyeru orang politik juga harus bijak dan tidak menggunakan sentimen keagamaan menimbulkan punca permasalahan.

Katanya, banyak negara porak-peranda akibat semangat perpaduan gagal dipertahankan walaupun satu agama dan satu bangsa.

“Negara dan rakyat mesti diutamakan kerana dengan perpaduan kukuh membawa impak positif kepada kestabilan politik dan memberi kesan kepada pembangunan ekonomi serta aspek-aspek lain. 

“Kestabilan politik ini amat penting, sama ada di peringkat pentadbiran negeri atau persekutuan kerana ia mempermudah usaha pentadbiran negara,” jelasnya.

Menurutnya, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) pada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memperuntukkan dana sejumlah RM15.01 bilion untuk pembangunan desa dan luar bandar di Sarawak dan membangunkan masyarakat luar bandar.

“KDDW sentiasa berusaha dan bekerjasama dengan kerajaan negeri memastikan pembangunan infrastruktur dan aspek-aspek lain dapat terus membangun.

“Selain itu, kerajaan kini dalam langkah memantapkan rangkaian telekomunikasi kepada 5G terutama di kawasan luar bandar bagi pendidikan dan sistem digital.

“Kita berharap segala usaha ini dapat direalisasikan dengan jayanya dan memberi impak positif kepada semua pada masa depan,” katanya.

Hadir sama Residen Bahagian Sarikei Michael Ronnie Langgong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom dan Ahli Parlimen Sarikei Dato Sri Huang Tiong Sii.

  • oleh
  • Advertisement