Anda di sini

Semarak semangat kecintaan rakyat kepada negara

Advertisement


JAPEN Malaysia, Sarawak anjur Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 Peringkat Sarawak di Mydin Petra Jaya hari ini

Sikie (tengah), Helmy (dua kiri) bersama yang lain mengibarkan Jalur Gemilang.
Sikie (tengah), Helmy (dua kiri) bersama yang lain mengibarkan Jalur Gemilang.

KUCHING: Jabatan Penerangan (JAPEN) Malaysia, Sarawak kembali lagi menyemarakkan semangat kecintaan rakyat kepada negara menerusi Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 Peringkat Sarawak. 

Berlangsung di Mydin Petra Jaya di sini hari ini, program tersebut dirasmikan Menteri di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai. 

Dalam ucapannya, Sikie berkata program itu diadakan bertujuan mempertingkatkan kesedaran rakyat perlunya pemupukan dan usaha melestarikan semangat patriotisme kepada negara. 

“Semangat patriotisme yang teguh dan mantap amat perlu sebagai aset jati diri rakyat, namun semangat sebegini tidak hanya harus bermusim terutama pada Bulan Kebangsaan sahaja ataupun ketika bulan Julai untuk Hari Sarawak, Ogos untuk Hari Kebangsaan dan September untuk Hari Malaysia. 

“Sebaliknya jiwa patriotisme ini perlu diterjemahkan sepanjang masa membabitkan tanggungjawab dan kehidupan harian rakyat,” katanya. 

Sikie yang juga menteri bertanggungjawab terhadap Sambutan Bulan Kebangsaan 2024 Peringkat Sarawak juga menyarankan program Pelancaran Kempen Jalur Gemilang dilaksanakan seperti kebiasaannya pada setiap tahun. 

Kementerian Komunikasi katanya, juga telah melancarkan Kempen 1 Rumah 1 Jalur Gemilang untuk menggalakkan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang. 

Menerusi kempen seperti ini, Sikie berharap ia akan mewujudkan komuniti setempat dan seluruh warga Sarawak yang aktif dalam memupuk semangat kebangsaan melalui penglibatan dalam aktiviti-aktiviti kegiatan sosial dan patriotik. 

Sementara itu Pengarah JAPEN Malaysia, Sarawak Helmy Hamid berkata Ekspresi Bulan Kebangsaan 2024 adalah satu sepak mula bagi kira detik menuju sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024. 

Antara pengisian program adalah pameran kenegaraan yang memaparkan warisan dan kepelbagaian budaya Malaysia, persembahan kesenian, pertandingan kuiz untuk menguji pengetahuan tentang sejarah negara serta Ekspresi Merdeka yang menyediakan platform untuk rakyat Malaysia menyuarakan pendapat dan pemikiran mereka tentang kemerdekaan dan masa depan negara. 

Turut diadakan pameran melibatkan kehadiran jabatan dan agensi penting seperti Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Affin Bank, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN). 

“Harapan daripada program ini kita dapat menguatkan ikatan kesatuan di antara semua lapisan masyarakat dalam menghayati hari-hari yang bersejarah,” katanya. 

  • oleh
  • Advertisement