Anda di sini

Masyarakat Ranau akan nikmati bekalan air lebih baik

Advertisement
 Masidi ketika meninjau kerja-kerja pelaksanaan projek berkenaan.
TINJAU: Masidi ketika meninjau kerja-kerja pelaksanaan projek berkenaan.

RANAU: Masyarakat di sini akan menikmati bekalan air yang lebih baik berikutan lancarnya projek kemudahan air bernilai RM63.8 juta.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, projek berkenaan terdiri daripada pemasangan paip untuk mengambil bekalan air mentah dari Sungai Mamut ke loji rawatan air baharu di sini.

Katanya, usaha itu telah dilaksanakan Jabatan Air Negeri sejak Jun 2023 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada Disember 2025.

"Projek ini termasuk memasang paip air baharu dari Sungai Mamut Ulu ke loji rawatan air baharu di Lohan.

"Projek ini penting bagi meningkatkan bekalan air terawat kepada beberapa kawasan seperti Pekan Ranau, Lohan, Poring dan sepanjang Jalan Sandakan," katanya.

Beliau berkata, kemudahan itu juga akan memberikan sokongan kepada perniagaan dan meningkatkan kebajikan serta kesihatan penduduk setempat.

"Setelah siapnya nanti, loji rawatan air baharu ini akan membekalkan bekalan air bersih kepada penduduk sekitar Pekan Ranau walaupun berada dalam cuaca buruk yang menyebabkan Sungai Liwagu banjir, sehingga menjejaskan loji rawatan air di Kimolohing.

"Selain itu, projek ini juga mampu mengeluarkan lima juta liter air sehari," katanya.

Masidi berkata, setakat April 2024, projek berkenaan sudah berada ditahap 29 peratus siap, dari segi pembinaan fizikal kemudahan itu.

Beliau memberikan jaminan bahawa akan mengemukakan perkembangan terkini mengenai tahap kemajuan projek berkenaan.

Menurutnya, kerajaan sentiasa komited untuk memperkasakan kemudahan asas di negeri ini yang mampu meningkatkan taraf kehidupan rakyat Sabah.

  • oleh
  • Advertisement