Anda di sini

KPT sokong program tarik minat pelajar lanjut pengajian ke IPT

Advertisement
(Dari tiga kiri) Chiew, Mustapha, Ling dan Mariam bersama tetamu kehormat lain dan pelajar bergambar kenangan selepas majlis perasmian My Future Education di Hotel Pullman Miri, hari ini.
(Dari tiga kiri) Chiew, Mustapha, Ling dan Mariam bersama tetamu kehormat lain dan pelajar bergambar kenangan selepas majlis perasmian My Future Education di Hotel Pullman Miri, hari ini.

MIRI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyokong penganjuran pameran pendidikan seperti My Future Education yang mendedahkan pelajar tentang kursus ditawarkan universiti awam dan swasta di dalam dan luar negara. 

Timbalan Menterinya Datuk Mustapha Sakmud berkata, menerusi aktiviti itu, pelajar ditawarkan dengan banyak pilihan kursus yang bersesuaian dengan prestasi keputusan mereka. 

"Program (My Future Education) kali ini lebih besar.

"Kami di peringkat kementerian amat menyokong usaha-usaha sebegini," jelasnya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut di Hotel Pullman di sini, hari ini.

Menurut Mustapha, KPT turut menganjurkan program Jom Masuk U (JMU) di 10 lokasi di seluruh negara. 

Di Sarawak, ia telah diadakan di Kuching dan Sibu sementara di Sabah telah diadakan di Tawau dan yang terakhir di UiTM Kota Kinabalu. 

"Juga dibuat secara mini. Yang ini (My Future Education) juga versi Jom Masuk U dan kita bukalah kepada mana-mana pihak yang ingin menganjurkan dan kita akan menyokong di peringkat kementerian," jelasnya.
 
Terdahulu dalam ucapannya Mustapha berkata, aktiviti itu merupakan satu platform yang amat penting dalam menerapkan nilai-nilai ilmu pengetahuan kepada generasi muda.

Program juga mempromosikan dan mewujudkan impian pelajar untuk meraih pendidikan tinggi yang berkualiti.

"Program ini, dengan menyediakan bengkel, ceramah dan pameran pendidikan, memberikan peluang kepada peserta untuk mendapat pendedahan tentang peluang pendidikan tinggi, memperluas pengetahuan mereka, mengembangkan kemahiran baharu dan menggali potensi diri mereka yang belum terungkap," jelasnya. 

Sementara itu, Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man berkata, pelbagai inisiatif dan program telah dilaksanakan untuk menyokong usaha membangunkan pendidikan di kawasan Miri. 

Beliau telah menggunakan sebahagian besar peruntukan kawasan untuk membantu dalam menambah baik kemudahan infrastruktur sekolah, antaranya pembaikan kerosakan, naik taraf tapak, pembekalan peralatan seperti pendingin hawa, meja, kerusi dan sebagainya. 

Pusat Khidmat Rakyat beliau juga menganjurkan program persiapan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memberikan bantuan balik persekolahan, bantuan cermin mata, tuisyen percuma dan lain-lain lagi.

Majlis turut menyaksikan penyampaian sumbangan RM100 seorang kepada 50 pelajar SMK Lutong yang mencapai keputusan cemerlang SPM 2023 untuk pembukaan akaun SSPN. 

Turut dikendalikan ialah kursus harian untuk persiapan peperiksaan SPM untuk subjek Biologi dan Matematik.

Aktiviti dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.219 Miri dengan kerjasama L&P Consultant Services.

Hadir sama pengerusi pengelola Alan Ling dan Pegawai Pendidikan Daerah Miri Mariam Monek. 

Advertisement