Anda di sini

KPT akan kaji keperluan tubuh kampus IPTA di Miri

Advertisement
Mustapha ditemani Chiew (kanan) dan pengerusi penganjur My Future Education Alan Ling ketika sidang media hari ini.
Mustapha ditemani Chiew (kanan) dan pengerusi penganjur My Future Education Alan Ling ketika sidang media hari ini.

MIRI: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan melaksanakan kajian menyeluruh termasuk jumlah pelajar mencukupi terhadap permohonan penubuhan kampus institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di utara Sarawak. 

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata, kajian projek tersebut boleh dilaksanakan sekiranya terdapat keperluan dan pasaran daripada pelajar. 

"Saya fikir kita boleh buat kajian jika ada pasarannya dan pelajar-pelajarnya mencukupi kita buat kampus di sini. 

"Saya fikir, tiada masalah tetapi kita kena lihat dahulu secara menyeluruh kajian sebelum kita buka. 

"Kalau ada keperluan, saya fikir tidak ada masalah untuk kita menyokong permohonan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Miri," jelas beliau kepada pemberita selepas merasmikan pameran pendidikan My Future Education di Hotel Pullman di sini, petang tadi.

Terdahulu Ahli Parlimen Miri Chiew Choon Man dalam ucapannya meminta pertimbangan daripada KPT untuk membina kampus tambahan bagi mana-mana IPTA di sini. 

Menurut Chiew, semua bandar utama di Sarawak telah mempunyai kampus IPTA kecuali Miri.

Keperluan tambahan untuk meneruskan pelajaran di IPTA juga untuk memenuhi peningkatan populasi rakyat dan kesedaran yang lebih tinggi tentang pentingnya pendidikan tinggi.

"Di Kuching, kita ada UNIMAS dan UITM, di Sibu terdapat UNIMAS Kampus Sibu, di Bintulu kita ada UPM Kampus Bintulu tetapi di Miri, kita masih tidak ada kampus IPTA.

"Oleh itu, besar harapan saya dan seluruh rakyat bukan sahaja di Miri tetapi di utara Sarawak seperti Limbang, Lawas, Baram dan Sibuti supaya terdapat satu kampus IPTA di Miri, " jelasnya. 

Penubuhan sebuah kampus IPTA di sini juga dapat membantu merealisasikan manifesto Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum yang lepas untuk mewujudkan satu IPTA di utara Sarawak. 

Chiew berkata, beberapa bulan lalu Kerajaan Sarawak telah merancang kerjasama dengan universiti terkemuka di China, Universiti Fudan untuk membuka kampus tambahan di Sarawak. 

Terdapat juga beberapa wakil rakyat dari kawasan Kuching, Sibu dan Datuk Bandar Miri yang menyeru supaya kampus universiti ini dapat dibuka di kawasan masing-masing. 

Sebagai wakil rakyat di Miri, beliau menyokong seruan Datuk Bandar Adam Yii supaya kampus Universiti China ini dibuka di Miri. 

"Ini kerana Miri sememangnya mempunyai potensi dan syarat yang baik untuk menampung kampus institusi pengajian tinggi. 

"Kawasan di utara Miri berpotensi untuk dijadikan bandar pendidikan tinggi," jelasnya

Beliau memberitahu, Miri telah memiliki Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Curtin University Malaysia dan Kolej Komuniti.

Menurut Chiew, sekiranya dapat menambah lagi dengan kampus IPTA dan kampus Universiti Fudan, ia akan sangat memberi manfaat kepada semua rakyat di utara Sarawak.

Untuk merealisasikan agenda ini, Chiew memohon sokongan penuh KPT untuk memilih Miri sebagai lokasi untuk membuka kampus tambahan IPTA.

"Saya juga mohon sokongan daripada KPT sekiranya Universiti Fudan yang terkemuka di China ini dapat membuka kampus di Miri," tambahnya. 

  • oleh
  • Advertisement