Anda di sini

KKDW terima RM871.24 juta bagi Sarawak pada tahun ini

Advertisement
Ahmad Zahid bersalaman dengan orang ramai semasa mengadakan walkabout di Pasar Tamu Sentral Sarikei, sebelum menghadiri majlis sambutan Pra Gawai Dayak 2024 Sarikei di Dewan Sentral Sarikei hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia merangkap Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abdul Wahab. - Gambar BERNAMA
Ahmad Zahid bersalaman dengan orang ramai semasa mengadakan walkabout di Pasar Tamu Sentral Sarikei, sebelum menghadiri majlis sambutan Pra Gawai Dayak 2024 Sarikei di Dewan Sentral Sarikei hari ini. Turut hadir Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam merangkap Ahli Parlimen Sarikei Datuk Seri Huang Tiong Sii dan Pengerusi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia merangkap Ahli Parlimen Tanjong Manis Ir Yusuf Abdul Wahab. - Gambar BERNAMA

SARIKEI: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah telah menerima peruntukan berjumlah RM871.24 juta bagi Sarawak pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak RM16.14 juta (1.85 peratus) berbanding tahun 2023 dan merupakan peruntukan kedua yang tertinggi selepas Sabah.

Peruntukan itu melibatkan 287 program atau projek, yang terdiri daripada 70 program atau projek baharu dan 217 program atau projek sambungan, dengan kos keseluruhan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) berjumlah RM15.01 bilion.

Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dana yang sangat signifikan itu, adalah untuk memudahkan perancangan dan juga perlaksanaan pelbagai upaya, bagi mencipta masyarakat luar bandar yang kompetitif dan meningkatkan kualiti hidup mereka.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, sudah pasti saya akan terus memainkan peranan di dalam pembangunan kawasan luar bandar di Sarawak ini untuk membantu kerajaan negeri, bagi memastikan terutamanya infrastruktur di kawasan luar bandar dapat dipertimbangkan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika majlis sambutan Pra-Gawai Sarikei 2024 di sini hari ini.

Antara yang menjadi fokus ialah pembinaan jambatan, penyediaan bekalan elektrik dan air bersih dan perkhidmatan telekomunikasi.

Beliau berkata oleh kerana telekomunikasi di negara ini telah dinaikkan kepada 5G, ia tidak hanya akan disediakan di tempat-tempat yang mempunyai penduduk yang ramai.

“Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sangat prihatin dan mahu supaya kawasan pedalaman di Sarawak dan Sabah, harus diberikan keadilan untuk mendapat liputan 5G supaya kita dapat berhubung dengan dunia luar.

“Ini penting terutamanya untuk anak sekolah sama ada mereka berada di sekolah rendah ataupun di sekolah menengah, mahupun yang berada di peringkat pengajian tinggi, dan ini harus dilakukan dalam waktu yang terdekat,” katanya sambil melahirkan keyakinan bahawa Kementerian Digital akan melaksanakannya dengan segera.

Untuk sambutan Hari Gawai tahun ini, beliau mendoakan supaya lebih banyak pembangunan dapat dibawa di Sarawak agar rakyatnya lebih makmur.

Bagaimanapun beliau berkata bagi mencapai harapan itu, kestabilan politik, perpaduan dan keharmonian di antara kaum, harus terus dipelihara. - BERNAMA

Advertisement