Dimulakan dengan persembahan mengujakan At Adau dan Baby Dream Machine sebagai pembuka tirai
KOTA SAMARAHAN: Harvest Festival Fusion (HFF) yang julung kali diadakan bermula malam tadi dimulakan dengan persembahan mengujakan At Adau dan Baby Dream Machine sebagai pembuka tirai dan memukau para penonton.
Pelbagai gerai yang menjual pelbagai makanan dan kraf tangan tradisional diselitkan dengan persembahan pentas HFF di La Promenade Mall yang bakal berlangsung setiap hari hingga 31 Mei dari jam 5 petang hingga 11 malam.
Penganjur City Services Sdn Bhd dan CMD Sound and Light Professionals dalam satu kenyataan berkata, objektif utama acara tersebut adalah untuk memperkayakan sambutan Hari Gawai dalam kawasan bandar.
Pada masa yang sama, memupuk keterangkuman dalam kalangan pelbagai kaum dan generasi di sini.
"Ini dicapai dengan menerima tema gabungan yang melangkaui persembahan sambil menjamu selera makan dan minuman," kata mereka.
Selain itu, pihak penganjur telah memperkenalkan gerakan ‘Udah Makai, Buai’ bagi meningkatkan kesedaran tentang kebersihan sewaktu perayaan.
“Semua penjual yang mengambil bahagian mesti menyepadukan Gawai atau resipi bertemakan etnik ke dalam menu makanan atau minuman mereka,” tambah pihaknya.
Pada 25 Mei 2024, HFF akan meraikan Malam Kostum Etnik, khusus untuk masyarakat Dayak.
Selain itu, festival itu juga akan menampilkan acara kira detik Gawai pada 31 Mei ini, disokong oleh Guinness & Heineken Malaysia Berhad.
Sorotan penting pada 31 Mei itu nanti juga adalah upacara menutup balang ‘tuak’ untuk pembukaan HFF 2025 kelak.
Untuk mengikuti acara tersebut, sila layari laman Instagram HFF dan saluran TikTok di @harvestfusionfest, atau laman Facebook rasmi mereka di https://www.facebook.com/harvestfusionfest.