Anda di sini

Pemilik syarikat, lima individu miliki diesel bersubsidi tanpa lesen didenda

Advertisement
KPDN Cawangan Sarikei mendakwa pemilik syarikat dan lima individu pada Khamis kerana memiliki barang kawalan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen.
KPDN Cawangan Sarikei mendakwa pemilik syarikat dan lima individu pada Khamis kerana memiliki barang kawalan minyak diesel bersubsidi tanpa lesen.

KUCHING: Seorang pemilik syarikat dan lima individu yang mengaku bersalah memiliki diesel bersubsidi tanpa lesen dijatuhi hukuman denda keseluruhan berjumlah RM272,000 oleh Mahkamah Sesyen Sarikei, pada Khamis.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak Matthew Dominic Barin berkata, pemilik syarikat dan lima individu warganegara itu didakwa memiliki barang kawalan tersebut dengan nilai keseluruhan sejumlah 38,654 liter.

Menurutnya, kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di Daerah Sarikei pada 2023. 

“Nilai keseluruhan denda adalah sebanyak RM272,000 dan enam kenderaan yang disita dilucutkan hak menjadi hak milik kerajaan.

“Selain itu, sejumlah RM83,321.10 hasil jualan minyak diesel dijadikan hasil kerajaan,” ujar Matthew menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, enam kes pendakwaan tersebut dibuat secara berasingan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dihukum di bawah Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 akta yang sama.

Seksyen berkenaan katanya, memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDN Sarawak, Nor Azhari Yusof di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sarikei, Hakim Stella Augsutine Druce. 

Matthew dalam pada itu memohon masyarakat membantu kementerian dengan menghulurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi yang seterusnya menyebabkan kerugian besar kepada rakyat serta negara.

Ini juga katanya, bagi memastikan aktiviti haram itu dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran WhatsApp 019-848 8000 / 019-279 4317; Portal Aduan; e-aduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-80, dan Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN,” katanya. 
 

  • oleh
  • Advertisement