Anda di sini

Kelab-kelab di EPL diberi peluang mengundi untuk memansuhkan VAR

Advertisement
Pengadil perlawanan memerhatikan ulang tayang melalui sistem VAR pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Brighton dan Chelsea, 15 Mei lalu. — Gambar AFP
Pengadil perlawanan memerhatikan ulang tayang melalui sistem VAR pada perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Brighton dan Chelsea, 15 Mei lalu. — Gambar AFP

LONDON: Kelab-kelab Liga Perdana Inggeris akan diberikan peluang untuk memansuhkan VAR (video bantuan pengadil) musim hadapan apabila mereka akan mengundi sistem semakan kontroversi itu pada mesyuarat agung tahunan (AGM) bulan hadapan.

Kelab Wolverhampton Wandereres (Wolves), menyerahkan satu resolusi untuk memansuhkan VAR dari Liga Perdana Inggeris, menyebabkan satu proses pengundian akan dibuat oleh 20 pasukan dalam Liga Perdana Inggeris pada 6 Jun depan.

Kelab Wolves berkata VAR “menjelaskan nilai jenama Liga Perdana” selepas satu lagi musim dicemari beberapa keputusan yang dipersoalkan.

Dalam usaha untuk VAR dimansuhkan oleh Liga Perdana, 14 dari 20 kelab harus mengundi membantahnya.

Wolves dijangka akan melobi kelab lain untuk mendapatkan undi sokongan sebelum AGM.

VAR diperkenalkan dalam Liga Perdana pada 2019 dengan sasaran untuk membantu pengadil mengelak kesilapan yang jelas dan meragukan yang mencemari beberapa perlawanan sebelum ini.

Tetapi ada beberapa kontroversi menyelubungi teknologi itu musim ini ketika para pengurus kelab dan penyokong semakin lantang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan sistem itu.

“Pengenalan VAR pada musim 2019/2020 adalah satu keputusan dibuat dengan kepentingan bola sepak dan Liga Perdana,” kata Wolves dalam satu kenyataan.

“Bagaimanapun, ia menyebabkan beberapa kesan buruk yang menjejaskan perhubungan di antara penyokong dan bola sepak, dan menjejaskan nilai jenama Liga Perdana.

Keputusan mengemukakan resolusi ini dibuat selepas pertimbangan terperinci dan dengan penghormatan tertinggi untuk Liga Perdana, PGMOL (badan pentadbir pengadil) dan rakan pesaing kami.

Pengurus Wolves, Gary O’Neil mendedahkan bahawa dia kerap menerima panggilan maaf menerusi telefon dari presiden PGMOL, Howard Webb ekoran  keputusan VAR  yang tidak memihak pasukannya.

Kesan VAR ke atas sambutan meraikan gol, tempoh masa lama diambil dan kurang komunikasi dalam stadium adalah isu yang menjengkelkan penyokong dan dirujuk oleh Wolves sebagai alasan untuk memansuhkan sistem itu.

Bercakap selepas Newcastle United tidak diberikan penalti apabila Anthony Gordon dikasari dalam kotak penalti tetapi rayuannya tidak diendahkan VAR ketika tewas 2-3 di Manchester United pada Rabu, menyebabkan pengurus Newcastle, Eddie Howe menyokong usaha memansuhkan sistem itu.

Pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino bagaimanapun lebih berhati-hati apabila bercakap selepas pasukannya menang 2-1 di Brighton.

“Musim hadapan, kami harus melihat jika kita boleh memperbaiki bagaimana cara kita menggunakan VAR. Bagi saya, ia bukan keluar atau masuk, ia tentang memperbaiki cara kita menggunakannya,” katanya.

“Ia boleh menjadi hebat jika dengan cara yang betul dan VAR boleh menjadi alat hebat untuk membantu pengadil dan kami.”

Liga Perdana juga percaya VAR masih alat yang sangat berguna.

Liga Perdana Inggeris, yang sentiasa berdialog dengan PGMOL, percaya jumlah keputusan salah akan meningkat tanpa VAR, yang boleh menjejaskan lagi reputasi pertandingan. — AFP
 

Advertisement