Anda di sini

Kejohanan Eropah sasaran Man Utd

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester Utd dan Newcastle Utd di Old Trafford. Man Utd menang dengan 3-2. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester Utd dan Newcastle Utd di Old Trafford. Man Utd menang dengan 3-2. — Gambar AFP

LONDON: Manchester United mengekalkan harapan menyelamatkan musim buruk mereka dengan kelayakan ke bola sepak di Eropah musim hadapan selepas gol Amd Diallo memastikan kemenangan 3-2 ke atas Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Rabu.

Skuad kendalian Erik ten Hag itu berusaha keras untuk menduduki tangga ketujuh liga di akhir musim, yang menjamin satu tempat ke Liga Konferensi Europa musim hadapan.

United akan layak ke Liga Europa jika mereka memenangi final Piala FA Inggeris  menentang Manchester City pada 25 Mei.

Tetapi jika City menang, maka tempat ketujuh liga sudah memadai untuk kelayakan ke Liga Konferensi Europa.

Dan United, yang berada di tangga kelapan ketika ini, masih belum menjamin tempat walaupun menewaskan Newcastle tetapi berkongsi mata dan berada di belakang lawan mereka dengan perbezaan gol.

Gol oleh Kobbie Mainoo, Diallo dan Rasmus Hojlund di Old Trafford memberikan United hanya kemenangan ketiga dari sembilan perlawanan liga terakhir.

Bagaimanapun, perbezaan gol United lebih kecil berbanding Newcastle, bermakna mereka harus mencapai keputusan yang lebih bagus berbanding Newcastle pada perlawanan terakhir musim Ahad ini.

United akan bertandang ke Brighton sementara Newcastle berkunjung ke Brentford untuk perlawanan terakhir musim.

Kekalahan buat Newcastle bermakna Tottenham Hotspur, yang berada di tangga kelima liga, dijamin kelayakan ke Liga Europa musim hadapan.

Chelsea naik ke tangga keenam liga selepas menang 2-1 di Brighton pada Rabu dan menghampiri kelayakan ke bola sepak Eropah selepas musim turun naik.

United melakukan ‘satu pusingan penghargaan’ kepada penyokong selepas perlawanan terakhir di Old Trafford musim ini.

Dan ketika ia bukanlah musim untuk diraikan, kemenangan adalah keputusan yang amat diperlukan oleh Ten Hag untuk mengelak kemungkinan dipecat pada akhir musim yang disenaraikan antara musim terburuk United dalam era Liga Perdana.

“Ia adalah penting untuk memenangi perlawanan terakhir di Old Trafford musim ini. Penyokong selayaknya semua ini kerana mereka berdepan masa sukar dan sentiasa terus bersama kami,” kata Ten Hag.

“Kami mahu membalas sokongan mereka. Kami akan bertemu Brighton pada perlawanan terakhir, yang juga penting untuk kedudukan liga. Semuanya tidak berada di tangan kami tetapi kami harus  melaksanakan tugas kami.”

Penguasaan United dalam separuh masa pertama berhasil pada minit ke-31 apabila umpanan Diallo menemui Mainoo yang tidak dikawal sebelum melakukan rembatan ke pintu gol.

Newcastle mengikat kedudukan pada minit ke-49 apabila Anthony Gordon tidak dikawal dalam kotak penalti untuk menyempurnakan hantaran Jacob Murphy.

Kemarahan Ten Hag dari gol penyamaan itu kembali reda apabila United menjaringkan gol pendahuluan sekali lagi pada minit ke-57 dari satu tendangan sudut, dengan Diallo merembat bola dari dalam kotak penalti.

Hojlund masuk dari bangku simpanan untuk melengkapkan jaringan pada minit ke-84 selepas melepasi dua pemain pertahanan tetapi gol kedua Newcastle dari Lewis Hall pada minit kecederaan mencemaskan United sebelum wisel penamat.

Di Stadium Amex, Cole Palmer meletakkan Chelsea di hadapan untuk gol liga yang ke-22 musim ini pada  minit ke-34.

Tidak mengendahkan cemuhan dari penonton tuan rumah, bekas pemain pertahanan Brighton, Marc Cucurella melakukan satu hantaran kemas yang disempurnakan oleh Palmer.

Christopher Nkunku menambah jaringan pada minit ke- 64 untuk gol liga yang ketiganya pada musim pertama  yang diselubungi kecederaan di kelab.

Pemain pertahanan Chelsea, Reece James, dibuang padang pada minit ke-88 kerana menendang balas ke arah Joao Pedro selepas dikasari penyerang Brighton itu.

Danny Welbeck merapatkan kedudukan buat Brighton pada  minit kecederaan tetapi ia ternyata terlalu lewat untuk menghalang Chelsea meraih kemenangan liga yang keempat berturut-turut, kali pertama ia berlaku sejak Oktober 2022.

Skuad kendalian Mauricio Pochettino akan menanti kunjungan Bournemouth untuk perlawanan terakhir Ahad ini dengan menyedari keputusan seri sudah memadai untuk kelayakan ke pertandingan Eropah musim hadapan, sementara tangga kelima masih boleh direbut jika menang dan Tottenham tewas di Sheffield United.

“Pujian sepenuhnya kepada pemain, kami selayaknya menang. Kerana itu kenapa saya sangat gembira,” kata Pochettino.

“Perkembangan pasukan sudah kelihatan. Ia membolehkan kami mengimpikan untuk bermain di Eropah musim hadapan.” — AFP
 

Advertisement