Anda di sini

FAM pertimbang wujudkan kembali program Harimau Muda 

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang melihat potensi untuk mewujudkan kembali program Harimau Muda antaranya bertujuan sebagai platform kesinambungan kepada pembangunan pemain muda negara.

Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin (gambar) berkata perancangan untuk mewujudkan semula skuad yang akan dibarisi pemain Bawah 23 Tahun (B-23) itu akan dibincangkan bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memandangkan pelaksanaannya melibatkan kos tinggi.

Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi penggal 2023-2027 itu berkata pasukan berkenaan akan dihantar beraksi dalam saingan liga di luar negara sama seperti dilalui skuad Harimau Muda terdahulu sekiranya bersesuaian.

“FAM ingin bincang dengan menteri untuk wujudkan balik Harimau Muda A ataupun B di mana payroll under FAM. Mungkin nak hantar pasukan ini ke luar negara jika bersesuaian bermain di liga luar negara macam yang pernah dibuat dulu.

“Mungkin ada sesetengah pemain dah terikat dengan kelab dan mungkin pemain yang berminat boleh dipinjamkan kerana kemudian FAM akan pulangkan balik kepada kelab tersebut tapi dia (pemain) dapat pendedahan bermain di luar negara. 

“Itu antara pilihan yang FAM mahu bincang dengan menteri. FAM lihat yang pentingnya sumber kewangan dan perbincangan dengan menteri,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama di Wisma FAM di Kelana Jaya, baru-baru ini.

Hamidin berharap program itu akhirnya akan memanfaatkan pasukan senior negara dalam misi FAM memastikan skuad Harimau Malaya kekal bersaing dalam Piala Asia selepas Malaysia menamatkan kemarau 42 tahun layak secara merit ke Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas.

“Piala Asia 2027 di Arab Saudi memang kena layak untuk kekal berada dalam kelompok 24 pasukan terbaik di Asia,” katanya.

Menurut Hamidin yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), idea mengembalikan Harimau Muda merupakan antara inisiatif FAM dalam satu program peringkat bawah umur yang sedang dirangka bagi menghadapi temasya sukan dan kejohanan penting akan datang.

Hamidin berkata antara yang menjadi tumpuan FAM adalah Sukan Olimpik 2028; Piala Dunia Bawah 17 Tahun dan Bawah 20 Tahun; Sukan Asia 2026 dan Sukan SEA 2025 dan 2027. 

Harimau Muda yang ditubuhkan pada 2007 menunjukkan impak positif hanya dalam tempoh singkat apabila skuad yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee ketika itu berjaya menjuarai Liga Perdana musim 2009.

Kewujudan skuad itu turut dianggap menjadi pemangkin kebangkitan pasukan kebangsaan selepas kejayaan Malaysia merangkul pingat emas Sukan SEA 2009 dan 2011 serta menjuarai kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2010.

Skuad Harimau Muda yang dibarisi pemain rata-rata berumur 20 hingga 22 tahun dipecahkan kepada dua pasukan Harimau Muda A dan Harimau Muda B pada 2009 sebelum skuad ketiga iaitu Harimau Muda C bagi pemain Bawah 19 Tahun (B-19) ditubuhkan beberapa tahun berselang.

Sepanjang penubuhan Harimau Muda, skuad itu turut pernah beraksi dalam saingan Liga Super, S League (Singapura), Liga Divisyen Pertama Slovakia, Liga Queensland yang merupakan sebahagian daripada liga utama Australia dan Liga FAM.

Pada November 2015, FAM mengambil keputusan membubarkan program Harimau Muda bertujuan mengembalikan tanggungjawab membangunkan pemain belia kepada kelab.- BERNAMA
 

Advertisement