Anda di sini

Rosakkan kereta orang lain, lelaki dipenjara seminggu

Advertisement
 

MIRI: Padah melakukan khianat dengan merosakkan kereta milik seorang wanita, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara seminggu oleh Mahkamah Majistret Miri, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Randu Rangen setelah Edwin Michael Masam, 36, dari Bandar Baru Permyjaya di sini, mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan cermin depan dan belakang serta cermin tingkap pintu depan dan pintu belakang sebelah kiri sebuah kereta Proton Saga milik Vivianne Anti, 21.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.36 pagi, 11 Mei lalu di sebuah lot di RPR 2 Bandar Baru Permyjaya di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement