Anda di sini

Miliki senapang angin tanpa lesen, lelaki didenda RM4,000 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki berusia 54 tahun didenda RM4,000 atau 10 bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana memiliki senapang angin tanpa sebarang lesen senjata atau permit.

Odin Hasbi mengaku bersalah di hadapan Majistret Mason Jaro Lenya Barayan sebaik dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 Akta sama.

Odin melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah premis di Jalan Rodway di sini pada 23 Mac 2024, sekitar jam 12 tengah hari. 

Berdasarkan fakta kes, Odin sedang berada di dalam keretanya ketika dia ditahan sepasukan polis untuk tujuan pemeriksaan.

Pemeriksaan polis menemui dan merampas selaras senapang angin, 277 unit peluru bebola plumbum, teropong dan parang di dalam but kereta Odin.

Odin kemudiannya ditangkap untuk tindakan lanjut.

Hasil siasatan mendapati dia memiliki senapang angin tanpa lesen senjata atau permit yang sah.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang sementara Odin tidak diwakili peguam.

Advertisement