Anda di sini

Medvedev tersingkir dari Terbuka Rom

Advertisement
Medvedev (kiri) berjabat tangan dengan Paul selepas tamat perlawanan di antara mereka berdua pada perlawanan tenis perseorangan lelaki di Terbuka Rom. — Gambar AFP
Medvedev (kiri) berjabat tangan dengan Paul selepas tamat perlawanan di antara mereka berdua pada perlawanan tenis perseorangan lelaki di Terbuka Rom. — Gambar AFP

ROM: Harapan Daniil Medvedev untuk mempertahankan kejuaraan Siri Master Rom berakhir awal pada Selasa selepas pemain ranking keempat dunia itu dikejutkan Tommy Paul di pusingan 16 akhir sementara Iga Swiatek melangkah selesa ke peringkat separuh akhir bahagian wanita.

Medvedev, yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, tidak pernah mempertahankan kejuaraan dalam Jelajah ATP dan bermain di bawah tahap sebenar ketika tewas 6-1 dan 6-4 kepada Paul, pemain dari Amerika Syarikat (AS) yang meraih kemenangan pertamanya ke atas jaguh dari Rusia itu.

“Dari segi mental, saya perlu lebih bagus. Saya mula mengawal diri saya sendiri dan memberi fokus kepada permainan di lewat perlawanan tetapi ia terlalu lewat,” kata Medvedev.

Dengan kemenangan itu, Paul akan menentang Hubert Hurkacz, pemain yang menyingkirkan Rafael Nadal pada awal kejohanan, dalam perlawanan suku akhir pertama kejohanan Siri Master yang berlangsung di permukaan tanah liat.

“Saya menjalani sedikit latihan sebelum musim di permukaan tanah liat tahun ini dan ia benar-benar membantu. Saya benar-benar selesa dan berasa gembira dalam gelanggang,” kata Paul.

Medvedev, 28, mempunyai peluang terbaik untuk mempertahankan kejuaraannya selepas penarikan diri atau penyingkiran awal beberapa nama besar tetapi sebaliknya, dia menjadi nama besar terbaharu yang tersingkir dari kejohanan terakhir sebelum kejohanan Grand Slam Terbuka Perancis lewat bulan ini.

Kejohanan sudah kehilangan empat pemain ranking teratas lelaki selepas Novak Djokovic tersingkir pada Ahad dan pemain ranking kedua dunia yang juga jaguh tuan rumah, Jannik Sinner dan pemain ranking ketiga dunia, Carlos Alcaraz, tidak menyertai kejohanan kerana kecederaan.

Holger Rune, yang tewas kepada Medvedev di final tahun lepas, juara Siri Master Madrid, Andrey Rublev dan finalis di Madrid, Felix Auger-Aliassime, juga tersingkir awal.

Peluang memenangi kejohanan kini menyebelahi juara 2-17 dan pemain ranking kelima dunia, Alexander Zverev, yang menewaskan pemain bukan pilihan, Nuno Borges 6-2 dan 7-5 untuk menempah pertemuan suku akhir menentang Taylor Fritz.

Juara di Monte Carlo, Stefanos Tsitsipas, juga mengintai peluang selepas menewaskan Alex de Minaur dari Australia 6-1 dan 6-2 dan akan bertemu Nicolas Jarry di suku akhir.

Pada perlawanan lain, pengembaraan luar biasa Alejandro Tabilo berterusan selepas mengejutkan Djokovic apabila melangkah ke peringkat suku akhir dengan menewaskan Karen Khachanov 7-6(7/5) dan 7-6(12/10).

Tabilo akan bermain di peringkat suku akhir kejohanan Siri Master buat kali pertama dalam kariernya, di mana dia akan menentang Zhang Zhizhen dari China.

Dalam bahagian wanita, pemain nombor satu dunia, Swiatek, terus berada di landasan memburu kejuaraan ketiga di sini selepas mudah mengenepikan cabaran Madison Keys dari AS 6-1 dan 6-3.

Di separuh akhir, Swiatek akan berdepan cabaran terkuatnya menentang pemain pilihan ketiga, Coco Gauff dari AS, yang menyingkirkan Zheng Qinwen dari China 7-6(7/4) dan 6-1.

Swiatek boleh menjadi pemain wanita pertama sejak Serena Williams pada 2013. — AFP 

Advertisement