Anda di sini

Lelaki rosakkan rumah mentua selepas dapati isterinya tidur dengan lelaki lain kena bon berkelakuan baik 

Advertisement
 

KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini mengenakan bon berkelakuan baik selama enam bulan terhadap seorang lelaki yang memecahkan pintu dan dinding kayu rumah mentuanya selepas mendapati isterinya tidur dengan lelaki lain.

Majistret Zubaidah Sharkawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Mustapha Hassan, 39, selepas dia mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 67 Kanun Tatacara Jenayah.

Mahkamah juga menetapkan bon itu berkuat kuasa mulai hari ini dengan jaminan mahkamah RM1,000 berserta seorang penjamin tempatan.

Berdasarkan fakta kes, pada 12 Mei 2024, Mustapha pergi ke rumah mentuanya di Kampung Pinang Jawa di sini sekitar jam 9 pagi.

Mustapha naik angin dan mula memecahkan pintu serta dinding kayu rumah, selain bertindak memukul isterinya.

Anggaran kerugian ialah RM200.

Berikutan kejadian itu, laporan polis dibuat dan Mustapha ditahan pada hari sama kira-kira jam 10.35 malam.

Mustapha mengaku melakukan khianat dengan merosakkan harta benda selepas mendapati isterinya tidur sebilik dengan lelaki lain, walaupun mereka masih sah berkahwin.

Justeru, bagi mengelak kejadian yang sama berulang, Mustapha diarah menyempurnakan bon berkelakuan baik.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Shafiqa Nyaie Ilin sementara Mustapha tidak diwakili peguam.

Advertisement