Anda di sini

Debaran besar buat Man City, Arsenal 

Advertisement
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Tottenham Hotspur dan Manchester City di Stadium Tottenham Hotspur di London. — Gambar AFP
Sebahagian daripada babak-babak aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Tottenham Hotspur dan Manchester City di Stadium Tottenham Hotspur di London. — Gambar AFP

LONDON: Erling Haaland menjaringkan dua gol untuk menghilangkan debaran Manchester City ketika juara bertahan Liga Perdana Inggeris itu menewaskan Tottenham Hotspur 2-0 untuk menghampiri sejarah memenangi kejuaraan liga – dalam format Liga Perdana Inggeris – buat kali keempat berturut-turut pada Selasa.

Penyerang antarabangsa Norway itu menyempurnakan satu hantaran tepat Kevin De Bruyne pada awal separuh masa kedua untuk menjaringkan gol liga yang pertama City di Stadium Tottenham Hotspur.

Dan dia menyempurnakan penalti lewat untuk memastikan tiga mata penuh berharga, beberapa minit selepas penjaga gol gantian City, Stefan Ortega, menyelamatkan cubaan kapten Spurs, Son Heung-min.

Kemenangan melonjak semula skuad kendalian Pep Guardiola ke tangga teratas liga, dua mata di hadapan pencabar terdekat, Arsenal dengan baki satu perlawanan sahaja lagi.

Kemenangan ke atas West Ham United di Stadium Etihad Ahad ini akan mengesahkan City muncul juara Liga Perdana Inggeris buat kali keempat berturut-turut, kali pertama ia berlaku dalam format Liga Perdana dan tidak kira apa jua berlaku dengan keputusan Arsenal ketika menentang Everton.

Tiada pasukan dalam liga elit bola sepak Inggeris yang pernah memenangi empat kejuaraan berturut-turut.

Kekalahan buat Spurs juga menjamin Aston Villa akan menamatkan saingan  liga di empat tangga teratas liga dan layak ke Liga Juara-Juara, menyertai City, Arsenal dan Liverpool.

“Kami memberikan peluang di tangan kami sendiri pada perlawanan terakhir nanti,” kata Guardiola. “Pemain tenis pernah berkata ‘pukulan servis untuk memenangi kejuaraan Wimbledon, permainan terakhir, adalah yang paling sukar’.

“Ia pernah berlaku ketika menentang Aston Villa (pada 2022). Dan beberapa tahun yang lalu dengan Sergio Aguero menjaringkan gol pada minit ke-93 ketika  menentang QPR (Queens Park Rangers). Jadi sudah pasti ada perlawanan yang sama.”

Guardiola meminta bantuan dari penyokong City untuk memastikan langkah terakhir itu.

“Kami tahu apa taruhan perlawanan ini,” katanya. “Debaran itu ada, saingan sangat sengit. Kerana itu kenapa ia sukar dan kami menyedarinya.

“Semua orang datang ke stadium dan memberi sorakan. Perlawanan seperti ini lebih sukar tetapi anda harus melakukannya. Kami akan berehat sehari, dua hari persediaan dan kemudian melakukan yang terbaik.”

Persiapan untuk perlawanan di ibu kota London itu diselubungi perdebatan sama ada penyokong Spurs mahu pasukan mereka tewas dalam usaha memberikan City kelebihan, berbanding melihat kelab jiran mereka, Arsenal, memenangi kejuaraan liga.

Penyokong Spurs memberikan pandangan jelas terhadap musuh jiran mereka itu pada awal permainan dengan sorakan “Berdiri jika kamu bencikan Arsenal” kedengaran di seluruh stadium.

Spurs mempunyai cubaan awal dengan penjaga gol City, Ederson, menepis cubaan Rodrigo Bentancur sebelum penjaga gol Spurs, Guglielmo Vicario menghadang cubaan jarak dekat Phil Foden.

City, yang memulakan perlawanan dengan rekod 21 perlawanan liga tanpa kalah, beraksi kurang lancar sementara Spurs bergelut melakukan penyudah kemas ketika melancarkan serangan.

Semuanya berubah selepas rehat apabila Vicario menepis satu cubaan De Bruyne dan tidak lama selepas itu, Bernardo Silva menemui De Bruyne dalam kotak penalti dan perancang utama City itu melakukan umpanan tepat kepada Haaland untuk merembat bola ke pintu gol.

Ribuan penyokong Spurs bersorak “Adakah kamu melihatnya Arsenal” ketika penyokong City meraikan gol pembukaan itu.

Rentak permainan berubah apabila De Bruyne mengalami kecederaan selepas diasak oleh Pape Sarr sebelum Ederson juga dikeluarkan ketika menafikan cubaan Cristian Romero dan diganti oleh Ortega.

Ortega beraksi serta-merta apabila menepis cubaan jarak dekat Dejan Kulusevski.

Son hampir mengikat kedudukan buat Spurs tetapi Ortega sekali lagi bertindak tangkas menghadang bola dengan kakinya sebelum City memperolehi penalti apabila Pedro Porro mengasari Jeremy Doku, membolehkan Haaland menjaringkan gol yang ke-27 musim ini. — AFP

Advertisement