Anda di sini

Waris pemuda hilang di laut terima pencen penakat lebih RM30,000

Advertisement
Farihah (tiga, kiri) menyampaikan pampasan PERKESO kepada Noaini ketika hadir sesi ziarah prihatin di Jalan Kelab, Tanah Lot hari ini. - Gambar BERNAMA
Farihah (tiga, kiri) menyampaikan pampasan PERKESO kepada Noaini ketika hadir sesi ziarah prihatin di Jalan Kelab, Tanah Lot hari ini. - Gambar BERNAMA

DUNGUN: Selepas hampir sembilan tahun, waris kepada Allahyarham Mohd Sabrie Kamaruddin yang hilang di laut ketika memancing pada 19 Julai 2015, akhirnya layak menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Pengarah PERKESO Terengganu Farihah Che Husin berkata pembayaran itu dibuat, selepas mahkamah mengisytiharkan Mohd Sabrie meninggal dunia pada 16 Nov 2023.

Farihah berkata waris yang layak menerima Faedah Pencen Penakat berjumlah RM34,100.72 dan Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM1,500 termasuk ibu bapa mangsa, Noaini @ Noraini Abdul Ghani, 55, dan Kamaruddin Ibrahim, 59, serta adik Syaidatul Effa, 19, yang sedang belajar di Kolej Vokasional Dungun.

“Bagi kes orang hilang, PERKESO perlu menunggu perintah mahkamah untuk mengesahkan kematian sebelum dapat membuat pembayaran.

“Anggapan Kematian adalah suatu perintah Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 108 Akta Keterangan 1950, yang memperuntukkan bahawa seseorang itu boleh dianggap meninggal dunia oleh mahkamah sekiranya orang sepatutnya mendengar khabar, tidak mendengar apa-apa khabar selama lebih tujuh tahun,” katanya di penyerahan Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat Perkeso kepada waris di Kampung Tanah Lot, di sini hari ini.

Farihah berkata selain dua faedah tersebut, waris Allahyarham juga akan menerima pencen bulan sebanyak RM385, yang dijangka dibayar mulai bulan depan.

Dalam pada itu Noaini berkata beliau akan menggunakan semua wang tersebut untuk tujuan kebajikan arwah dan anak angkatnya, Allahyarham Mohd Shahril Asmadi yang turut hilang dalam kejadian tersebut.

Walaupun peristiwa tersebut sudah lama berlalu, Noaini mengakui beliau sekeluarga masih bersedih dan selalu mengadakan majlis tahlil untuk kedua-dua anaknya.

“Saya dah niat untuk guna duit Perkeso buat upah haji, tahlil dan sedekah untuk kedua-dua anak yang hilang.

“Di sudut hati saya masih berharap mereka masih hidup, tetapi dalam masa sama saya juga reda dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Mohd Sabrie dan Mohd Shahril dilaporkan hilang pada 19 Julai 2015 di perairan Dungun selepas bot fiber yang mereka naiki karam dihempas ombak. - BERNAMA

Advertisement