Anda di sini

Wanita cemas ular tedung menyelinap masuk bilik mandi

Advertisement
Ular tedung yang ditemui dalam bilik mandi rumah pengadu malam Selasa.
Ular tedung yang ditemui dalam bilik mandi rumah pengadu malam Selasa.

KAPIT: Seorang wanita berdepan detik cemas apabila seekor ular tedung menyelinap masuk ke dalam bilik mandi di rumahnya di sini, malam Selasa. 

Dalam kejadian sekitar jam 9 malam itu, jeritan pengadu mengejutkan penghuni lain bergegas memeriksa lalu mendapati seekor ular tedung hitam terjuntai di atas alat pemanas air di dalam bilik mandi. 

Bimbang dengan keselamatan mereka, mereka menghubungi talian kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk mendapatkan bantuan.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit bertindak menggunakan penjerut ular untuk menangkap ular itu.

Reptilia itu kemudiannya dilepaskan ke dalam kawasan hutan yang jauh dari kawasan kediaman.

Terdahulu, pengadu yang hanya dikenali sebagai Soh memberitahu, ular tersebut berada di luar pekarangan rumah di mana anjingnya cuba menggigitnya.

Soh menambah, dia agak hairan bagaimana ular itu boleh sampai ke bilik mandi di tingkat atas rumah. 

Justeru, beliau mengucapkan terima kasih kepada anggota bomba kerana segera menangkap ular tedung itu. 

Advertisement