Anda di sini

Sarawak sasar tempa MBOR bagi acara tarian berpakaian etnik paling ramai Ahad ini

Advertisement
Abdul Karim bersama Ting serta yang lain menunjukkan poster acara tarian bertemakan 'Warna Keharmonian' pada sidang media di Bilik Media Bangunan DUN Sarawak, hari ini. - Gambar Emmor Roystein
Abdul Karim bersama Ting serta yang lain menunjukkan poster acara tarian bertemakan 'Warna Keharmonian' pada sidang media di Bilik Media Bangunan DUN Sarawak, hari ini. - Gambar Emmor Roystein

KUCHING: Sarawak berhasrat untuk mencipta rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penglibatan peserta terbanyak memakai pakaian etnik dalam persembahan tarian beramai-ramai pada 19 Mei ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lebih 1,000 peserta disasar akan terlibat dalam acara tarian itu di pekarangan Square Tower, Tebingan Kuching di sini.

Menurutnya, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual menyempurnakan acara tersebut yang dianjurkan oleh Rotary Club of Kuching dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

"Dengan penglibatan ramai peserta dalam acara ini, kita yakin dapat memecah rekod baharu MBOR sekali gus boleh mempromosikan warisan budaya unik yang terdapat di Malaysia dan Sarawak khasnya," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media acara tarian terbabit yang bertemakan 'Warna Keharmonian' di Bilik Media Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Menurut Abdul Karim, acara itu bukan sahaja akan menampilkan keunikan dalam persembahan tarian, tetapi juga bukti komitmen komuniti di Sarawak untuk memelihara dan mempromosikan warisan budaya di negeri ini.

"Sarawak adalah rumah kepada sekurang-kurangnya 34 kumpulan etnik yang berbeza, masing-masing menyumbang kepada keunikan pelbagai yang menjadikan negeri kita begitu istimewa. 

"Daripada Iban, Bidayuh, Melanau dan Orang Ulu kepada masyarakat Melayu, Cina dan India, justeru kita adalah bukti kepada keindahan kepelbagaian budaya," ujarnya.

Sementara itu, Gabenor Daerah Antarabangsa Rotary 3310 (Sarawak) Dr John Chan mengalu-alukan golongan warga emas untuk menyertai acara tersebut dengan mendaftarkan diri melalui kod QR yang akan disediakan kelak.

"Orang ramai juga boleh mendaftar di tapak dan lebih baik datang dengan kelengkapan pakaian etnik masing-masing," tambahnya.

Hadir sama pada sidang media tersebut ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting Ching Yew dan Datuk Bandar Kuching Utara Hilmy Othman.

  • oleh
  • Advertisement