Anda di sini

Sarawak rancang bangun lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching: Abang Johari

Advertisement
Abang Johari ketika ditemui wakil media di lobi Kompleks DUN selepas selesai persidangan DUN, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari ketika ditemui wakil media di lobi Kompleks DUN selepas selesai persidangan DUN, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Sarawak merancang membangunkan lapangan terbang antarabangsa baharu di Kuching untuk menyokong pertumbuhan industri penerbangan di negeri ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu perlu memandangkan trafik udara Sarawak semakin bertambah, selain kemudahan sedia ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) tidak mencukupi.

"Kita sedang mengkaji perancangan untuk membina lapangan terbang antarabangsa yang baharu disebabkan trafik (udara) kita bertambah.

"Dan juga, kita melihat bangunan lapangan terbang antarabangsa sekarang, saya rasa tidak ada kemudahan mencukupi untuk menampung pertambahan jumlah penerbangan dan trafik penumpang," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Terdahulu, ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan DUN hari ini, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak merancang membangunkan lapangan terbang antarabangsa baharu susulan pengambilalihan MASwings.

Usaha itu ujarnya, akan menjadikan Sarawak satu lagi hab penerbangan wilayah bagi rantau ASEAN.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Abang Johari berkata sudah tiba masanya untuk Sarawak mempunyai lapangan terbang antarabangsa baharu kerana LTAK sedia ada sudah melebihi kapasiti.

"Lokasi akan kita maklumkan kemudian. Apa yang pasti, ia akan dibangunkan di Kuching kerana lapangan terbang antarabangsa memang perlu di Kuching dan kita mahukan ia menjadi hab penerbangan.

"Kita sudah ada hab untuk pelabuhan, kali ini kita perlukan hab untuk penerbangan. Ia bukan sahaja untuk penumpang, tetapi juga untuk kargo, maknanya ia akan berfungsi sebagai hab komersial," jelasnya.

Mengenai dana untuk membina lapangan terbang antarabangsa Kuching baharu itu, Abang Johari berkata perkara itu akan dibincangkan dengan Malaysian Airport Holdings Berhad (MAHB).

"(Perbincangan) sama ada MAHB akan menjadi rakan kongsi kita untuk membangunkan lapangan terbang ini kerana ia (pembinaannya) bergantung kepada keupayaan dana yang ada.

"Mungkin kita akan bangunkan bersama MAB untuk membina lapangan terbang antarabangsa baharu ini," jelasnya.

Abang Johari berkata, dengan siapnya lapangan terbang antarabangsa Kuching baharu itu nanti, LTAK sedia ada boleh dijadikan lapangan terbang untuk jet atau pesawat peribadi.

"Sudah tentu persoalannya ialah LTAK sekarang tidak mencukupi dari segi kapasiti... Kita memerlukan lapangan terbang antarabangsa baharu, kemudian kita akan melihat apa boleh dilakukan ke atas LTAK sedia ada  sekarang," tambahnya.

  • oleh
  • Advertisement