Anda di sini

Pusat Perubahan Iklim pelopor usaha laksana tindakan iklim

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak sedang membangunkan Pusat Perubahan Iklim yang akan berperanan sebagai pelopor kepada usaha melaksanakan tindakan iklim, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg.

Beliau berkata, pusat itu akan menyelaras, mengurus dan menyokong semua inisiatif perubahan iklim dan perdagangan karbon di Sarawak.

"Kajian penubuhan pusat yang penting ini kini telah mencapai peringkat siap, membuka jalan kepada pembangunan akan datang," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Selain itu, beliau mendedahkan Sarawak juga sedang merangka Dasar Perubahan Iklim untuk mewujudkan garis asas jejak karbon.

Usaha itu ujarnya, akan memperkasakan komuniti, perniagaan dan penggubal dasar bagi menangani pelepasan dan mempromosikan teknologi rendah karbon serta membuka jalan untuk masa depan yang mampan untuk Sarawak.

"Kita juga sedang merangka pelan tindakan Masyarakat Rendah Karbon untuk menambah baik pengurusan sisa dan banjir, mengurangkan pelepasan karbon bandar dan mempromosikan teknologi serta amalan hijau untuk meminimumkan kesan perubahan iklim," katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata Sarawak menerajui usaha ke arah masa depan yang mampan dengan memajukan inisiatif penyahkarbonan dan tenaga hijau.

Ini sejajar dengan matlamat alam sekitar tempatan dan global, tambahnya.

"Visi kita untuk Sarawak yang lebih hijau, mengutamakan pelaburan besar dalam teknologi dan infrastruktur hijau bagi mempelbagaikan campuran tenaga kami melangkaui sumber tradisional.

"Memanfaatkan campuran tenaga Sarawak yang pelbagai, kekayaan sumber  hidroelektrik dan tenaga boleh diperbaharui, telah menjadikan Sarawak sebagai kuasa hijau serantau di ASEAN.

"Komitmen Sarawak terhadap inovasi hijau terbukti dalam mengembangkan hidrogen hijau, Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) daripada mikroalga dan meneroka teknologi inovatif seperti projek angin solar hibrid," katanya.

Abang Johari juga memberitahu beliau telah dijemput untuk berucap di forum 'Regions for the Planet' semasa H2Poland 2024 di Poznan, Poland baru-baru ini.

Semasa forum itu katanya, beliau membincangkan strategi inovatif Sarawak untuk cabaran ekonomi dan sosial dalam penyelesaian iklim.

Beliau juga menekankan tumpuan Sarawak terhadap peranan utama hidrogen dalam strategi tenaga bersih Sarawk serta  kepentingannya dalam usaha penyahkarbonan.

  • oleh
  • Advertisement