Anda di sini

Proses penurunan autonomi alam sekitar dijalankan berfasa: Awang Tengah

Advertisement
Awang Tengah bersama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh (kanan) menunjukkan teks ucapan penggulungan kementerian pada persidangan DUN, hari ini. - Gambar Roystein Emmor
Awang Tengah bersama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh (kanan) menunjukkan teks ucapan penggulungan kementerian pada persidangan DUN, hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Proses penurunan autonomi alam sekitar di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kepada Sarawak akan dijalankan secara berfasa.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, dalam fasa pertama kerajaan Sarawak berhasrat mengambil alih kuasa tadbir urus berkaitan dengan pengurusan buangan terjadual bermula pada tahun 2025. 

“Manakala aspek pengurusan efluen industri, kawalan kualiti udara dan pengurusan EIA akan diambil alih pada fasa berikutnya.

“Bagi memperkasakan pelaksanaan 'Transfer of Autonomy on Environment under Malaysia Agreement 1963' (MA63), satu rangka kerja pelaksanaan telah disediakan dan diperaku oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) pada 2 Ogos 2023,” kata Timbalan Premier itu.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar pada persidangan DUN, hari ini.

Tambah Awang Tengah, rangka kerja tersebut berada di bawah seliaan kementeriannya.

Ia terdiri daripada Jawatankuasa Pemandu, Jawatankuasa Teknikal serta empat jawatankuasa kerja yang masing-masing bertanggungjawab berkenaan perkara perundangan, sumber manusia, pembangunan sistem dan infrastruktur.

“Dari segi perundangan, kerajaan Sarawak dalam proses meminda 'The Natural Resources and Environment Ordinance' [Cap.84 (1958 Edition)] dengan menambah peruntukan-peruntukan yang berkaitan.

“Ia sebagai punca kuasa bagi membolehkan NREB mengambil alih kuasa autonomi alam sekitar yang menyeluruh daripada kerajaan persekutuan,” ujarnya.

Malah kata beliau, kerajaan negeri telah meluluskan penyusunan semula organisasi dan keperluan sumber manusia bagi memastikan jumlah tenaga kerja yang mencukupi dan kompeten. 

Katanya, pegawai-pegawai NREB turut didedahkan dengan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya seperti Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual), 2005.

“Sekiranya wujud keperluan untuk peminjaman atau penyerapan tenaga kerja daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak kepada NREB, ia akan dibincangkan serta diteliti secara bersama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dan JAS Malaysia terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan,” tegas beliau.

Selain itu katanya, NREB juga sedang membangunkan 'Environmental Information System Sarawak' (EnvISS) yang merupakan sistem pengurusan sisa buangan terjadual yang setara dengan yang digunapakai oleh JAS.

Ia seperti 'Electronic Scheduled Waste Information System' (eSWIS), Mypremis dan Elektronik Kualiti Alam Sekitar (eKAS).  
 

  • oleh
  • Advertisement