Anda di sini

Pegawai kastam mengaku tidak bersalah terima rasuah RM69,350 

Advertisement
Mohammad Zyed Ibrahim, 41, (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas 43 pertuduhan menerima rasuah keseluruhan berjumlah RM69,350 sejak 2017 hingga 2020. - Gambar BERNAMA
Tertuduh diiringi pegawai SPRM di pekarangan mahkamah, hari ini. - Gambar BERNAMA

SEREMBAN: Seorang pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 43 pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM69,350 dari 2017 hingga 2022.

Mohammad Zyed Ibrahim, 41, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan hampir sejam di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu yang bertugas sebagai Penguasa Kastam di JKDM Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati secara rasuah memperoleh untuknya wang keseluruhan berjumlah RM69,350 daripada pemilik sebuah syarikat melalui pemindahan dalam talian daripada akaun syarikat itu ke dalam akaun miliknya.

Ia sebagai dorongan untuk tidak memeriksa lori-lori milik syarikat itu yang membawa keluar barang daripada Kargo KLIA, dengan perbuatan terbabit dilakukan di sebuah bank di Nilai antara 16 Sept 2017 hingga 16 Jan 2022.

Kesalahan itu didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhammad Asraf Mohamed Tahir, Nur Atiqah Mohamad Alias dan Mohd Afif Ali, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Aizat Fakri.

Terdahulu, Muhammad Asraf membantah mahkamah menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh merupakan pegawai kastam yang sepatutnya bertanggungjawab mengawal pintu masuk negara daripada dibolosi.

“Mahkamah perlu ambil kira tanggungjawab tertuduh dan tindakannya menerima suapan ialah pengkhianatan selain memberi imej dan persepsi negatif kepada JKDM, manakala hukuman dinyatakan jelas menunjukkan rasuah ialah kesalahan serius,” katanya.

Muhamad Asraf berkata tertuduh juga berisiko untuk melarikan diri pada masa akan datang kerana berdasarkan rekod, mereka terpaksa mengambil masa selama 65 hari untuk mengesannya termasuk pencarian melalui media sebelum ditahan di rumah ibunya di Bintulu, Sarawak pada 7 Mei lepas.

Muhamad Aizat kemudian memohon mahkamah menetapkan wang jaminan berpatutan dikenakan mengambil kira anak guamnya yang merupakan bapa tunggal kepada anak berusia lima tahun dan perlu menanggung ibu berusia 66 tahun dan abang yang mempunyai masalah mental.

“Tertuduh berasal dari Bintulu dan tidak melarikan diri ke sana, malah menggalas tanggungjawab menjaga keluarga selain memberi kerjasama kepada SPRM,” katanya.

Hakim Meor Sulaiman kemudian menerima hujahan pihak pendakwaan atas risiko tertuduh melarikan diri dan tidak membenarkan sebarang wang jaminan, selain menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan semula kes. - BERNAMA

Advertisement