Anda di sini

Nilai dagangan Sarawak meningkat kepada RM52.2 bilion pada suku pertama 2024 

Advertisement
 

KUCHING: Nilai dagangan Sarawak merekodkan peningkatan sebanyak 5.9 peratus kepada RM52.2 bilion pada suku pertama 2024 berbanding RM49.3 bilion pada tempoh sama 2023.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, nilai eksport dan import meningkat semula sebanyak 5.8 peratus dan 6.3 masing-masing disokong oleh pertumbuhan dalam permintaan global juga domestik.

"Dagangan Sarawak dijangka bertambah baik tahun ini seiring dengan pemulihan perdagangan global," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri  dan Pelaburan berkata, di sebalik landskap ekonomi yang mencabar, Sarawak terus mencapai lebihan dagangan sebanyak RM67.7 bilion pada 2023. 

Beliau berkata, jumlah nilai dagangan lebih rendah sebanyak 11.2 peratus kepada RM193 bilion disebabkan oleh permintaan global yang lebih perlahan, harga komoditi yang lebih rendah dan ketegangan geopolitik. 

"(Nilai) eksport merosot 14.8 peratus kepada RM130.4 bilion, manakala import menguncup 2.5 peratus kepada RM62.6 bilion berbanding 2022.

"Eksport Sarawak kekal dikuasai oleh LNG (gas asli cecair) yang menyumbang 42.0 peratus daripada bahagian jumlah eksport pada 2023. Jumlah volum eksport LNG meningkat sedikit pada 0.7 peratus kepada 24.8 juta tan. 

"Bagaimanapun, nilai eksport susut 11.6 peratus kepada RM54.8 bilion disebabkan harga komoditi yang lemah. Harga purata bagi LNG merosot sebanyak 12.2 peratus daripada RM2,520 satu tan kepada RM2,213 satu tan pada tempoh yang sama," jelasnya.

Awang Tengah menambah, eksport produk E&E (elektrik dan elektronik) meningkat sebanyak 15.4 peratus pada 2023, disokong oleh peningkatan permintaan dalam semikonduktor, solar dan komponen untuk bateri kenderaan elektrik. 

Sektor E&E kataya, dijangka berkembang 5.0 peratus pada 2024, berikutan permintaan global yang positif bagi  industri yang mampan, lebih hijau dan bersih seperti solar, kenderaan elektrik dan peranti teknologi perubatan.

"Jumlah import di Sarawak merosot 2.5 peratus kepada RM62.6 bilion pada 2023 disebabkan kategori utama, iaitu barangan perantaraan dan penggunaan.

"Import barangan pengantara yang menyumbang 52.4 peratus daripada jumlah import, menurun akibat kelembapan dalam eksport perkilangan. Manakala barangan penggunaan dengan bahagian 18.4 peratus menguncup 3.2 peratus," tambahnya.

Sementara itu, Awang Tengah berkata bandar-bandar sempadan di sempadan Sarawak-Kalimantan Barat dibangunkan dengan infrastruktur-infrastruktur diperlukan bagi merancakkan aktiviti perniagaan serta mewujudkan peluang pekerjaan.

Menurutnya, antara projek tersebut ialah pembinaan jalan raya di Pos Sempadan Sementara Serikin dan menaik taraf kemudahan di kompleks imigresen, kastam, kuarantin dan keselamatan (ICQS) bagi memudahkan pergerakan barangan dan orang ramai. 

Selain itu katanya, Pelan Induk yang melibatkan bandar sempadan seperti Lubok Antu, Serian, Bau, Kapit, Belaga, Mulu, Bario dan Ba’ Kelalan sedang dibangunkan untuk mengenal pasti projek pemangkin untuk pembangunan sempadan bersama yang berpotensi.

"Pada 2023, projek usaha sama tenaga hijau telah diwujudkan antara Sarawak dan Kalimantan untuk membangunkan Loji Hidroelektrik Mentarang Induk di Kalimantan Utara. 

"Kerjasama ini menekankan penglibatan proaktif Sarawak dengan Kalimantan untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran dalam penjanaan tenaga boleh diperbaharui. 

"Pada masa sama, sepuluh syarikat Malaysia telah menyerahkan surat hasrat untuk menyertai pembangunan Nusantara," jelasnya.

Beliau menambah, kerajaan Sarawak akan terus meneroka peluang dan usaha terancang untuk bekerja sama serta meningkatkan kerjasama perdagangan serta ekonomi dengan Indonesia dalam hubungan udara dan laut, perubatan, pendidikan juga pelancongan. 

Oleh itu, Pejabat Perdagangan dan Pelancongan Sarawak di Kalimantan, Indonesia katanya akan ditubuhkan untuk menggalakkan pelaburan, perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua wilayah.
 

Advertisement