Anda di sini

MINTRED agensi kerajaan pertama di Malaysia jalin kerjasama dengan TikTok

Advertisement
 

KUCHING: Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) adalah agensi kerajaan pertama di Malaysia yang menjalinkan kerjasama dengan TikTok Malaysia.

Menterinya Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, pada 2023 lebih 100 penjual Sarawak telah menyertai program TikTok Shop x MINTRED.

“Ia berjaya mencatatkan nilai jualan kasar bernilai lebih RM1 juta.

“Kementerian saya akan terus menyediakan program latihan dan kemahiran untuk meningkatkan kecekapan mereka dalam pengurusan, teknologi, pemasaran dan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan penggulungan Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan pada persidangan DUN, hari ini.

Timbalan Premier itu berkata, kementerian juga sedang melaksanakan inisiatif untuk menyediakan pembinaan kapasiti dalam kemahiran digital untuk pengusaha kecil dan sederhana (PKS) mengharungi perjalanan transformasi digital.

Bagi suku pertama 2024 katanya, lebih 2,800 PKS dilatih dalam asas, teknikal dan keusahawanan digital.

“Kami akan mengukuhkan lagi keupayaan eksport PKS melalui penyertaan dalam ekspo nasional dan antarabangsa.

“Pada suku pertama 2024, Pejabat Perdagangan, Pelaburan dan Pelancongan Sarawak Singapura (STATOS) telah membantu 53 PKS untuk menyertai dua ekspo antarabangsa yang terkenal.

“Ia termasuk Maritim Asia Pasifik 2024 dan FHA (Makanan dan Minuman) 2024, yang diadakan di Singapura untuk mempromosikan dan memasarkan produk dan perkhidmatan mereka,” katanya.

Tambah beliau, pada Maritim Asia Pasifik 2024, industri pembinaan kapal menarik potensi jualan sebanyak RM1 bilion.

Sementara FHA 2024, PKS dari Sarawak menjana potensi jualan sebanyak RM12.6 juta, ujarnya.

Awang Tengah berkata di samping itu, kerajaan Sarawak menggalakkan pelabur memasukkan kandungan tempatan dalam projek pelaburan mereka dengan memberi keutamaan kepada syarikat Sarawak yang berkebolehan dan kompeten.

“Antara projek tersebut termasuk kerja mekanikal, fabrikasi modul, sistem paip, pembinaan, perundingan dan penyelenggaraan luar pesisir. 

“Kandungan tempatan adalah salah satu syarat untuk layak mendapat insentif cukai di bawah inisiatif kerajaan persekutuan,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement