Anda di sini

Lelaki ugut bunuh adik dipenjara 10 bulan

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki berusia 38 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana mengugut untuk membunuh adiknya.

Majistret Mason Jaro Lenya Barayan menjatuhkan hukuman itu terhadap Awang Saufie Jasni yang mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun yang sama kerana mendatangkan kecederaan. 

Mason menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan penjara lapan bulan bagi kesalahan pertama dan kedua.

Beliau turut memerintahkan hukuman penjara Awang Saufie berjalan berturutan mulai 15 Mei 2024.

Awang Saufie melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Matang Jaya, Jalan Matang di sini pada 3.51 petang pada 25 April 2024.

Berdasarkan fakta kes, mangsa berusia 21 tahun sedang berpegang pada tangga ketika bapanya sedang membaiki bumbung rumah mereka apabila Awang Saufie tiba-tiba menjerit memanggil bapanya dengan cara yang kasar.

Ibunya kemudian menyuruh Awang Saufie bercakap dengan baik dengan bapanya, tetapi dia enggan dan mula membaling pinggan serta kerusi ke arah adiknya.

Awang Saufie terus menendang perut adiknya sehingga menyebabkan dia mengalami kecederaan.

Bapa mereka juga cuba menghalang Awang Saufie daripada mencederakan mangsa dan terus menghubungi polis.

Apabila menyedari bapanya cuba menghubungi polis, Awang Saufie mula mengugut untuk membunuh dan mengambil parang dari dapur tetapi dihalang ibunya.

Awang Saufie kemudian melarikan diri dari rumah apabila polis tiba. Dia akhirnya ditangkap pada 10 Mei 2024.

Pendakwaan kes dikendalikan Insp Merylene Lindan Andrew Mang manakala Awang Saufie tidak diwakili peguam.

Advertisement