Anda di sini

KKMG, Sarawak Energy anjur Program Pemerkasaan Kulinari Lestari di Baleh

Advertisement
Gambar kumpulan bersama peserta, Pengarah KKMG, pegawai-pegawai SEB, SIDS, Jabatan Pertanian Kapit dan tenaga pengajar KKMG.
Gambar kumpulan bersama peserta, Pengarah KKMG, pegawai-pegawai SEB, SIDS, Jabatan Pertanian Kapit dan tenaga pengajar KKMG.

BAU: Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) Kolej Komuniti Mas Gading (KKMG) bekerjasama dengan Sarawak Energy untuk menganjurkan Program Pemerkasaan Kulinari Lestari di Baleh, Kapit baru-baru ini.

KKMG menerusi kenyataan hari ini berkata, program tersebut bertujuan menyokong komitmen pembangunan komuniti dan keusahawanan dalam bidang fokus pelaburan sosial Sarawak Energy. 

Ia juga katanya, merupakan salah satu inisiatif pembangunan komuniti di bawah Projek Hidroelektrik Baleh (HEP) Sarawak Energy yang berfokuskan kepada komuniti Baleh dengan matlamat untuk melahirkan usahawan wanita demi kemajuan sosioekonomi berterusan.

"Program yang berlangsung selama tiga hari ini mendedahkan 50 peserta dari 10 rumah panjang sekitar Baleh dan penduduk di sekitar kawasan Kapit dengan pelbagai aktiviti pembelajaran.

"Antara lainnya adalah pembuatan keropok lekor, bebola ikan tilapia, serunding halia, sos cili nenas, kordial terung asam, karipap pusing sejuk beku, pau kukus dan roti canai sejuk beku," ujar kenyataan tersebut.

Tambahnya, objektif pelaksanaan program tersebut melibatkan pendedahan kemahiran dan pengetahuan penting kepada komuniti terlibat untuk menjadikan hasil pertanian mereka sebagai bahan kulinari yang dapat dikomersialkan. 

Ini katanya, merangkumi mempersiapkan peserta dengan kemahiran praktikal untuk mencipta pelbagai produk kulinari dari hasil pertanian tersebut serta memanfaatkannya dalam jualan sebagai sumber pendapatan mereka.

Sementara itu, Pengarah KKMG Shirley Phillip merakamkan ucapan terima kasih kepada Sarawak Energy, Serakup Indu Dayak Kapit (SIDS) dan Jabatan Pertanian (DOA) atas kepercayaan dan kerjasama yang diberikan kepada KKMG dalam menyediakan tenaga pengajar demi menjayakan Program Permarkasan Kulinari Lestari itu. 

"Pihak KKMG akan terus memberi kerjasama kepada pihak yang berkenaan bagi melahirkan lebih banyak usahawan dalam bidang kulinari ini terutamanya di kawasan luar bandar, sekali gus membantu menjana pendapatan harian mereka," ujar beliau dalam kenyataan tersebut.

Selain Shirley, turut hadir pada majlis penutupan program tersebut adalah Pengurus Kanan Projek Baleh HEP Sarawak Energy Sharina Bohari, Ketua Unit Pembelajaran Sepanjang Hayat KKMG Lenny Lai Mei Lan, SIDS serta pegawai-pegawai dari Sarawak Energy, Jabatan Pertanian Kapit dan KKMG. 

Advertisement