Anda di sini

Kajian kejuruteraan bangunkan pelabuhan laut dalam di Tg Embang sedang dilaksana

Advertisement
 

KUCHING: Sarawak sedang menjalankan kajian kejuruteraan untuk pembangunan pelabuhan laut dalam di Tanjung Embang, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya kajian itu bukan sahaja untuk memacu Sarawak sebagai hab perdagangan serantau, tetapi juga sebagai hab tenaga bagi wilayah selatan.

"Untuk memastikan kecekapan operasi maksimum, kita mesti melengkapkan pelabuhan kita dengan infrastruktur terkini, termasuk akses air dalam dan keupayaan pengendalian kargo termaju. 

"Pelabuhan kita akan menawarkan sambungan antara mod yang lancar dan mematuhi piawaian antarabangsa tertinggi untuk amalan alam sekitar, dan keselamatan," katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan DUN, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Sarawak komited untuk mempromosikan amalan perkapalan bersih dan hijau yang mematuhi piawaian global.

Katanya, ia memandangkan peralihan kepada operasi pelabuhan yang lebih hijau dan lebih pintar semakin mendapat momentum di seluruh ASEAN.

Komitmen harus dibuat dengan pelaburan yang semakin ke arah mengurangkan impak alam sekitar dan meningkatkan automasi, katanya.

"Peralihan ini mengukuhkan kepimpinan Sarawak dalam pembangunan serantau dan bertujuan untuk meningkatkan pelabuhan kita ke status global, meletakkan Sarawak sebagai hab perdagangan serantau dan pemain utama dalam usaha ASEAN untuk mencapai masa depan yang lebih bersih dan hijau," katanya.

Berikutan itu, beliau berkata Sarawak bersedia untuk menghasilkan bahan api hijau untuk perkapalan.

Pada masa sama katanya, menjadikan Sarawak sebagai hab serantau untuk menampung bahan api hijau dan melaksanakan Koridor Utiliti Bersama.

Pendekatan bersepadu dan diperkemas katanya, akan meningkatkan kecekapan operasi dan sejajar dengan visi Sarawak untuk kemudahan pelabuhan termaju yang mementingkan alam sekitar.

Selain itu, beliau berkata penyatuan aktiviti pelabuhan Sarawak di bawah Lembaga Pelabuhan Sarawak juga merupakan inisiatif strategik dan tepat pada masanya.

“Memandangkan lokasi Sarawak yang strategik di Borneo dan peranan kita dalam rantaian bekalan global, khususnya dalam sektor tenaga,” tegasnya.

Justeru dengan penambahbaikan menyeluruh bagi rangkaian pengangkutan antara mod dan logistik Sarawak, beliau berkata Sarawak bersedia untuk menjadi hab serantau yang penting bagi kesalinghubungan dalam ASEAN.

“Ini adalah selaras dengan Wawasan ASEAN 2040, yang bertujuan untuk mewujudkan ekonomi ASEAN yang bersepadu,” kata Abang Johari.
 

  • oleh
  • Advertisement