Anda di sini

Aktivis Thai mogok lapar mati dalam tahanan 

Advertisement
 

BANGKOK: Seorang aktivis hak asasi manusia yang ditahan atas dakwaan menghina keluarga diraja meninggal dunia semalam ketiga mogok lapar dalam tahanan, menurut jabatan penjara Thailand.

Netiporn Sanae-sangkhom, aktivis daripada kumpulan prodemokrasi Thaluwang, telah ditahan reman sejak Januari atas dakwaan menghina keluarga diraja berikuta protes perarakan diraja pada 2020 semasa kemuncak pergerakan prodemokrasi yang diketuai belia di negara itu.

Antara undang-undang lese-majeste paling ketat di dunia melindungi Raja Maha Vajiralongkorn dan keluarganya, dengan setiap pensabitan membawa hukuman penjara hingga 15 tahun.

Wanita berusia 28 tahun itu mogok lapar sejurus ditahan bagi memprotes sistem kehakiman Thailand dan dipindahkan segera ke hospital penjara berikutan masalah kesihatan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan jabatan penjara, Netiporn yang juga dikenali sebagai ‘Boong’, mengalami lemah kaki dan tangan serta anemia.

Dia enggan menerima vitamin dan zat mineral yang diberikan oleh pihak hospital, menurut kenyataan itu.

“Dia mengalami serangan jantung pada pagi Selasa dan tidak memberi respons kepada rawatan, yang menjurus kepada kematiannya secara aman pada jam 11.22 pagi (waktu tempatan),” menurut kenyataan itu.

Ia menambah bahawa pihak hospital akan menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.

Menurut Persatuan Peguam Hak Asasi Manusia, ketika ini terdapat sekurang-kurangnya dua tahanan politik di Thailand yang masih mogok lapar.

Pada tahun lepas, dua tahanan mogok lapar di bawah undang-undang lese-majeste dibebaskan sementara berikutan masalah kesihatan. — AFP

Advertisement