Anda di sini

24 kontrak projek infrastruktur ditamatkan setakat ini: Uggah

Advertisement
Uggah (dua kiri) bersama Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo (kiri) serta yang lain menunjukkan teks ucapan penggulungan kementerian pada persidangan DUN, hari ini. - Gambar Roystein Emmor
Uggah (dua kiri) bersama Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo (kiri) serta yang lain menunjukkan teks ucapan penggulungan kementerian pada persidangan DUN, hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Sebanyak 24 kontrak projek infrastruktur di negeri ini telah ditamatkan setakat ini.

Timbalan Premier yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada jumlah itu 15 daripadanya dibiayai kerajaan negeri sementara sembilan projek adalah persekutuan.

“15 daripada kerja-kerja yang ditamatkan ini telah diperbaharui semula melalui pelantikan kontraktor penyelamat, manakala baki sembilan lagi dalam peringkat prakontrak.

“Proses penamatan dan pelantikan kontraktor penyelamat untuk projek persekutuan adalah lebih kompleks,” katanya dalam ucapan penggulungan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada persidangan DUN, hari ini.

Uggah berkata proses penamatan yang panjang untuk projek persekutuan menyebabkan kelewatan dalam usaha memulihkan projek itu.

“Kami telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mengurangkan kelewatan projek kritikal,” katanya.

Menurutnya, dari Januari hingga April 2024, didapati pengurangan ketara daripada 22 projek tertangguh kritikal kepada hanya 11 (iaitu dua negeri dan sembilan persekutuan).

Kata Uggah, pencapaian itu telah dijayakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak melalui beberapa langkah.

Antaranya, memastikan pembayaran tepat pada masanya kepada kontraktor untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, ujar beliau.

“Selain itu, mereka (JKR) melaksanakan pemantauan rapi projek untuk memastikan kemajuan dan penyiapan segera kerja-kerja yang belum selesai dan ‘One Month Intervention Pledge’  oleh kontraktor dan JKR,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu telah meningkatkan kecekapan projek dan menunjukkan komitmen kementerian untuk menyampaikan hasil yang berkualiti dalam tempoh masa yang ditetapkan.

“Kementerian saya akan terus memantau dengan teliti semua projek untuk memastikan ia siap dengan cepat,” katanya.

Uggah berkata, JKR Sarawak kini sedang melaksanakan 108 projek jalan dan jambatan luar bandar di bawah Kementerian Kemajuan Desan dan Wilayah (KKDW) bernilai RM6.13 bilion (1,400km).

Status projek-projek berkenaan adalah 10 telah siap, satu sedang dalam pembinaan dan 87 masih berada di peringkat prakontrak.

“Sementara itu, KKDW telah meluluskan sejumlah RM543.1 juta untuk menaik taraf 14 projek jalan balak terbengkalai.
“Di bawah program Jiwa Murni terdapat 16 projek bernilai RM928.0 juta.

“Projek-projek ini bertujuan untuk membina 461km Jalan Luar Bandar Isipadu Rendah (LVRR) dan 82 jambatan bailey,” katanya.

Uggah memaklumkan terdapat 14 projek yang telah siap telah diserahkan kepada JKR Sarawak untuk penyelenggaraan dan baki dua lagi masih dalam tempoh tanggungan kecacatan.

“Apabila tamat tempoh tersebut, Angkatan Tentera Malaysia akan membaiki semua kerosakan sebelum diserahkan kepada JKR Sarawak,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement