KUCHING: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sejumlah 1,391 projek dibiayai kerajaan Sarawak di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) melibatkan nilai siling RM37.98 bilion telah diluluskan.
Beliau berkata daripada jumlah itu, 997 atau 72 peratus merupakan projek fizikal manakala baki 394 atau 28 peratus projek bukan fizikal merangkumi geran, sumbangan, pelaburan, program dan acara.
"Sehingga 31 Mac 2024, 210 atau 21 peratus daripada 997 projek fizikal telah siap manakala baki 787 projek atau 79 peratus masih di pelbagai peringkat pelaksanaan.
"Perbelanjaan terkumpul dari tahun 2021 hingga 31 Mac 2024 ialah RM19.1 bilion atau 50 peratus daripada jumlah nilai siling RMK12 (RM37.98 bilion)," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Kementerian Kewangan dan Ekonomi Baharu pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua berkata, kerajaan akan terus mempercepatkan pelaksanaan projek-projek dirancang dan pada masa sama, memperkenalkan langkah-langkah baharu bagi mengurangkan serta mengawal projek-projek sakit serta tertangguh.
Ini katanya, termasuk pelantikan kontraktor-kontraktor penyelamat dan memastikan kerja-kerja mobilisasi bermula dalam tempoh satu bulan selepas surat anugerah dikeluarkan.
"Di bawah RMK12, sejumlah 7,808 projek program transformasi luar bandar (RTP) dengan peruntukan RM1.64 bilion telah diluluskan.
"Setakat 31 Mac 2024, sejumlah 5,231 projek atau 67 peratus telah siap manakala baki 2,577 projek atau 33 peratus masih di pelbagai peringkat pelaksanaan," katanya.
Beliau menambah, jumlah terkumpul perbelanjaan (untuk projek-projek RTP) dari tahun 2021 hingga 31 Mac 2024 ialah RM1.227 bilion atau 75 peratus daripada jumlah peruntukan diluluskan (RM1.64 bilion).
Menyentuh prestasi Projek Rakyat di negeri ini, Uggah berkata sejumlah RM500 juta diperuntukkan bagi tujuan itu di bawah Belanjawan Sarawak 2024.
"Sehingga April 2024, sejumlah RM74 juta telah dibelanjakan. Projek-projek ini kini pada pelbagai peringkat pelaksanaan," ujarnya.