Anda di sini

Tukang masak salah guna dadah didenda

Advertisement
 

MIRI: Seorang tukang masak didenda RM2,000 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini setelah mengaku bersalah atas tuduhan menggunakan dadah berbahaya tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Majistret Randu Rangen turut memerintahkan tertuduh supaya menjalani pengawasan oleh pihak polis selama tempoh dua tahun.
    
Kho Tze Kim, 47, dari Desa Senadin di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.
    
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara hingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.
    
Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah  menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4.30 petang, 7 Februari tahun ini di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Miri.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement