Anda di sini

RM489.95 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek PBT di bawah RMK12

Advertisement
 

KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah diperuntukkan siling RM489.95 juta untuk pelaksanaan pelbagai projek oleh 24 pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menterinya Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, sehingga 30 April 2024, RM207.66 juta (42.38 peratus) daripada peruntukan yang diluluskan telah diagihkan untuk pelbagai projek infrastruktur.

“Ia termasuk penambahbaikan jalan dan saliran, penambahbaikan tebingan sungai, naik taraf pasar, penyediaan lampu jalan, lampu isyarat, tandas awam perpustakaan awam, pengindahan bandar dan landskap serta kemudahan luar bandar.

“Kesemua projek ini sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan oleh pelbagai pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Timbalan Premier itu berkata demikian ketika berucap bagi penggulungan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada Persidangan DUN di sini, hari ini.

Dr Sim berkata, bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diterajui Kerajaan Sarawak ia memainkan peranan penting dalam menghidupkan kawasan luar bandar dengan meningkatkan infrastruktur dan kemudahan awam untuk manfaat rakyat.

Katanya sepanjang tempoh 2015 hingga 2023, Kerajaan Sarawak telah meluluskan 5,499 projek sebagai sebahagian daripada RTP, memperuntukkan sejumlah RM912.67 juta kepada kementeriannya.

“Setakat ini, kementerian saya telah berjaya menyiapkan 4,778 projek, bersamaan 87 peratus daripada jumlah projek yang diluluskan di bawah pelaksanaan pelbagai PBT.

“Dari Julai 2018 hingga 2024, Kerajaan Sarawak telah meluluskan 372 projek di bawah Projek Rakyat dengan jumlah peruntukan RM2.31 bilion untuk kementerian saya,” katanya.

Beliau memaklumkan projek-projek itu dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kerja Raya (JKR), Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) dan pihak berkuasa tempatan.

“Untuk tahun ini sahaja, 10 projek telah diluluskan dengan peruntukan RM68.1 juta.

“Sehingga kini, 227 projek telah disiapkan manakala baki 145 lagi dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement