Anda di sini

Lembaga Padi dan Beras Sarawak akan ditubuh, terajui pembangunan industri padi: Dr Rundi

Advertisement
Dr Rundi (barisan hadapan, dua kanan) bersama Timbalannya Datuk Dr Abdul Rahman Ismail (barisan hadapan, tiga kanan) dan Datuk Martin Ben (barisan hadapan, kanan) melihat teks penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan DUN, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Dr Rundi (barisan hadapan, dua kanan) bersama Timbalannya Datuk Dr Abdul Rahman Ismail (barisan hadapan, tiga kanan) dan Datuk Martin Ben (barisan hadapan, kanan) melihat teks penggulungan bagi kementeriannya pada persidangan DUN, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Lembaga Padi dan Beras Sarawak akan ditubuhkan bagi menerajui dan mengawal selia pembangunan industri padi di negeri ini.

Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, penubuhan lembaga itu penting melihat kepada kepentingan industri padi beras dalam menjamin sekuriti makanan negeri.

"Lembaga ini akan menyelaraskan inisiatif strategik yang bertujuan untuk meningkatkan rantaian bekalan industri beras secara keseluruhannya.

"Sementara itu, sebelum penubuhan Lembaga Padi dan Beras Sarawak, kementerian saya akan membentuk Pasukan Petugas Padi dan Beras yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak melibatkan semua agensi berkaitan," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Rundi berkata Sarawak perlu membangunkan 17,500 hektar kawasan baharu yang dilengkapi infrastruktur tertier bagi mencapai 100 peratus Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri menjelang 2030.

Beliau berkata, kawasan baharu itu akan membolehkan Sarawak menghasilkan sekitar 392,000 tan metrik padi bersamaan 235,000 tan metrik beras menjelang 2030.

Menurutnya pada 2023, SSL beras negeri hanya 32 peratus dengan jumlah pengeluaran padi kira-kira 118,000 tan metrik dihasilkan dengan mengusahakan sekitar 61,000 hektar tanah, 32,000 hektar diklasifikasikan sebagai padi paya, manakala baki 29,000 hektar padi bukit.

"Justeru, untuk mencapai 60 peratus  SSL, Sarawak perlu mengeluarkan lebih kurang 236,000 tan metrik padi iaitu bersamaan dengan 142,000 tan metrik beras.

"Dan untuk mencapai 100 peratus SSL menjelang 2030, Sarawak perlu membangunkan 17,500 hektar kawasan baharu," katanya.

Dr Rundi juga berkata, dalam usaha meningkatkan SSL beras negeri, kementeriannya telah mengenal pasti kawasan-kawasan baharu yang akan dilengkapi infrastruktur tertier.

Kawasan baharu berkenaan yang terletak di Bahagian Sri Aman, Kapit, Mukah dan Limbang katanya, akan memfokus kepada penanaman variati padi yang mampu mengeluarkan hasil tinggi.

"Untuk meningkatkan pengeluaran padi, kerajaan juga perlu memulih dan menaik taraf beberapa Skim Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedia ada di seluruh Sarawak.

"Berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, untuk mencapai SSL sebanyak 60 peratus, sejumlah RM1.2 bilion diperlukan untuk mewujud dan menaik taraf infrastruktur padi yang terdiri daripada 4,500 hektar kawasan baharu dan 8,800 hekta rSkim JPS sedia ada," jelasnya.

Bagaimanapun ujarnya, bagi mencapai 100 peratus SSL padi, 17,500 hektar kawasan baharu dan 8,800 hektar Skim JPS sedia ada diperlukan dengan anggaran kos RM4.68 bilion.

Dr Rundi berkata, pada masa sama kementeriannya berdepan cabaran membangunkan infrastruktur padi di seluruh Sarawak kerana kebanyakan kawasan potensi baharu dan sedia ada di bawah Skim JPS terletak di bawah tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) atau tanah berhak milik.

Oleh itu katanya, kementeriannya akan bekerjasama dengan Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak mengenal pasti tanah negeri yang sesuai untuk penanaman padi seperti yang dihasratkan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Bagi memastikan kemampanan dan mengekalkan ketulenan genetik varieti beras tradisional Sarawak, kementerian saya juga mewujudkan zon khas bagi varieti terpilih iaitu (varieti) Bario di Tanah Tinggi Bario, Adan di Ba' Kelalan dan Biris di Lubok Punggor, Samarahan.

"(Varieti) Bajong pula di Lubok Nibong, Betong; Wai dan Saga di Daro manakala Mamut di Sri Aman," katanya.

Dr Rundi menambah, dalam usaha mencapai SSL 100 peratus, kementeriannya kini juga memulakan inisiatif pemulihan sumber genetik beras tradisional dengan menaik taraf kemudahan penyimpanan benih padi sedia ada di Pusat Penyelidikan Pertanian Semenggok kepada 'Bank Gen' yang sesuai serta moden.

Inisiatif itu dilihat penting kerana 'Bank Gen' akan mengekalkan sumber genetik dan proses menaik taraf kemudahan penyimpanan benih sedia ada akan dilakukan secara berfasa, katanya.

"Fasa 1 menaik taraf yang menelan belanja RM300,000 dijangka siap pada November 2024," katanya lagi.
 

  • oleh
  • Advertisement