Anda di sini

Cederakan Zulfarhan: Lima bekas penuntut UNPM tarik balik rayuan sabitan, penjara tiga tahun

Advertisement
 

PUTRAJAYA: Lima bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menarik balik rayuan terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun kerana mencederakan Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, tujuh tahun lepas.

Peguam Amer Hamzah Arshad memaklumkan Mahkamah Rayuan di sini hari ini, kelima-lima perayu menarik rayuan berkenaan berikutan ia kini bersifat akademik dan tidak lagi relevan kerana mereka telah selesai menjalani hukuman penjara tiga tahun sejak 2021.

Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai tidak membantah penarikan balik rayuan oleh Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Abdoul Hakeem Mohd Ali, yang kini kesemuanya berumur 28 tahun.

Bagaimanapun, kelima-lima perayu itu bersama seorang lagi rakan mereka, Mohamad Shobirin Sabri masih menjalani hukuman penjara 18 tahun selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi pada 2 Nov 2021 atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh Zulfarhan.

Pada prosiding itu, Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail yang mengetuai panel tiga hakim iaitu Hakim Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membatalkan rayuan berkenaan.

Mahkamah itu sebelum ini menetapkan 14 hingga 16 Mei ini untuk mendengar rayuan bagi hukuman mencederakan dan menyebabkan kematian Zulfarhan.

Sementara itu, 12 lagi bekas penuntut universiti itu yang dijatuhkan hukuman sama kerana mencederakan Zulfarhan tidak menarik balik rayuan mereka dan mahkamah kini sedang mendengar rayuan perayu.

Mereka ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua mereka yang kini berusia 28 tahun didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 Mei 2017 dan 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. - BERNAMA

Advertisement