Anda di sini

Buruh tidak  mengaku salah tuduhan perbuatan khianat

Advertisement
 

MIRI: Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan melakukan perbuatan khianat dengan merosakkan sebuah kenderaan milik sebuah syarikat perladangan.
    
Ku Nurhaidy Ku Baharon, 36, dari kuaters pekerja di Marina di sini, telah didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa dengan sengaja melakukan perbuatan khianat yang boleh menyebabkan kerugian salah kepada Suburmas Plantation Sdn Bhd dengan merosakkan bahagian hadapan sebuah kenderaan jenis pikap milik syarikat terbabit dengan cara mengundurkan kenderaannya ke arah kenderaan tersebut.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8 pagi, 17 Februari 2023 di Blok 091 Division 5 Ladang Saremas 1, Niah.
    
Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa ASP Koay Kok Ping memohon tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah.
    
Hakim Azreena Aziz membenarkan permohonan itu dan menetapkan 6 Jun depan sebagai tarikh sebutan lanjut kes di Mahkamah Majistret Batu Niah.
    
Tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan tunai RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

  • oleh
  • Advertisement