Anda di sini

3,300 peserta libatkan 110 kontinjen akan sertai Perarakan Gawai Dayak Sarawak 2024 

Advertisement
Billy (duduk, tiga kiri) bersama yang lain menunjukkan laluan untuk Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang akan diadakan pada 15 Jun depan. -Gambar Chimon Upon
Billy (duduk, tiga kiri) bersama yang lain menunjukkan laluan untuk Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang akan diadakan pada 15 Jun depan. -Gambar Chimon Upon

KUCHING: Seramai 3,300 peserta melibatkan 110 kontinjen akan menyertai Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 yang terbesar pada 15 Jun depan di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja-Kerja Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 Billy Sujang berkata, peserta terdiri daripada komuniti Iban, Bidayuh dan Orang Ulu, Kadazan Dusun daripad  Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Cawangan Sarawak dan agensi kerajaan dari setiap kementerian di Sarawak.

Katanya, perarakan akan bermula daripada Bangunan Tun Jugah dan berakhir di pentas utama di Tebingan Kuching di sini, dengan jarak sejauh 1.3 kilometer (km) bermula jam 2 petang.

“Tetamu kehormat dijangka menyertai  Perarakan Gawai Dayak tahun ini ialah Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. 

“Turut serta, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Gawai Dayak 2024 dan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Gawai Dayak 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Perarakan Gawai Dayak Peringkat Negeri Sarawak 2024 di Bilik Media Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Billy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar berkata, sebelum perarakan bermula, akan diadakan upacara Pisien daripada komuniti Bidayuh di Bangunan Tun Jugah sebelum ketibaan tetamu kehormat.

Katanya, ia bagi memohon keberkatan acara tersebut yang akan dilakukan oleh Temenggong Bidayuh Bahagian Kuching Atok Derop.

“Selain perarakan gawai ini, orang ramai juga akan disajikan dengan persembahan pentas di Tebingan Kuching yang menampilkan artis- artis tempatan termasuk Veteran Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga, Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang akan membawa kontinjen Bujang Berani,” ujarnya.

Tahun ini tambah beliau, penganjur menawarkan hadiah kepada kontinjen terbaik sebanyak RM10,000 kepada pemenang tempat pertama, RM7,000 (kedua) dan RM5,000 (ketiga).

Sehubungan itu, Billy menjemput orang ramai terutama untuk memeriahkan serta menyaksikan perarakan kebudayaan negeri sambil menikmati suasana harmoni dalam kepelbagaian kebudayaan Sarawak.
 

  • oleh
  • Advertisement