Anda di sini

Pekerja hotel tidak mengaku curi duit majikan

Advertisement
 

MIRI: Mahkamah Majistret di sini, hari ini memerintahkan seorang pekerja hotel dibebas dengan jaminan RM2,500 berserta dua penjamin tempatan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencuri duit kepunyaan majikannya.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Jun depan sebagai tarikh pengurusan kes.

Pricilla Mayang Jau, 34, dari Long Terawan, Tutoh, Baram, telah didakwa mencuri wang tunai berjumlah RM16,560 kepunyaan hotel tempat kerjanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan pada jam 11 pagi, antara 18 Mac hingga 29 April tahun ini di tingkat bawah sebuah hotel di Jalan Pos di sini.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman di hadapan Majistret Randu Rangen manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement